Pendirian Malaysia terhadap Israel wajar dihormati - Massad

Pendirian Malaysia terhadap Israel wajar dihormati – Massad

Prof Joseph A Massad
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Ahli akademik Universiti Columbia, Prof Joseph A Massad memuji dan menghormati pendirian Malaysia yang enggan tunduk kepada tekanan Amerika Syarikat (AS) untuk menormalkan hubungan diplomatik dengan Israel.

Menurutnya, langkah Malaysia disifatkan sebagai pendirian yang konsisten menentang genosid sejak sekian lama.

“Selama ini, AS sebagai penyokong utama Israel dilihat jelas memberikan tekanan kepada negara majoriti Islam dan negara Arab supaya menjalinkan hubungan diplomatik dengan Israel.

“Saya ingin menyatakan bahawa saya memuji Malaysia serta ahli-ahli politik dan kerajaan Malaysia kerana enggan akur kepada desakan sedemikian,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan syarahan umum bertajuk ‘Identiti Muslim Dalam Dunia Global’ di sini, hari ini.

Kenyataan itu hadir susulan tindakan lapan Ahli Kongres AS yang menghantar surat kepada Setiausaha Negara, Marco Rubio, bagi menyuarakan tidak berpuas hati terhadap tindakan tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu mengusir segera rakyat Israel yang berada di Malaysia.

Mereka adalah Greg Landsman, Josh Gottheimer, Jimmy Panetta, Dan Goldman, Debbie Wasserman Schultz, Jared Moskowitz, Brad Sherman dan Jake Auchincloss daripada parti Demokrat.

Berdasarkan surat dimuat naik Landsman dalam akaun Facebooknya, Ahli Kongres terbabit menyuarakan kebimbangan amat serius terhadap kenyataan Anwar.

Sehubungan itu, mereka mendesak Kerajaan AS mengambil tindakan tegas kerana kenyataan Anwar didakwa cenderung bersifat antisemitisme.

Dalam perkembangan sama, Massad berkata, kritikan terhadap Israel tidak boleh disamakan dengan anti-Semitisme kerana, Israel tidak mewakili keseluruhan masyarakat Yahudi di dunia.

Menurutnya, majoriti orang Yahudi tidak tinggal di Israel dan tidak pernah memilih negara itu untuk bercakap bagi pihak mereka.

“Pendirian untuk tidak menjalinkan hubungan diplomatik dengan Israel adalah penolakan terhadap genosid dan bukannya tindakan memusuhi orang Yahudi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN