PUTRAJAYA: Enam tahun menempa nama dalam industri seni, pelakon, Ali Reza mengakui dirinya tidak tergugat apabila ramai pelapis baharu lebih mudah meraih populariti berbandingnya.
Menurut Ali, dia pernah berada di fasa mempersoalkan perkara yang sama, namun dirinya memilih untuk melalui perjalanan seninya dengan lebih tenang.
“Memang pernah fikir tentang perkara itu. Tetapi bila terlalu fikir, saya jadi terlalu banyak berfikir. Sekarang selepas enam tahun dalam industri, saya lebih matang. Dulu saya anggap ia sebagai tekanan, sekarang saya anggap ia sebagai satu perjalanan.
“Kalau kita asyik membandingkan diri dengan orang lain yang lebih popular atau mempunyai lebih ramai pengikut, ia tidak akan membantu kita.
“Saya lebih memilih untuk fokus kepada perjalanan sendiri. Banyak pengalaman hidup yang saya belajar melalui bidang lakonan. Setiap tawaran baharu ialah satu pengembaraan dan pengalaman baharu buat saya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ditanya sama ada dirinya berada di zon selesa terlalu lama, pelakon drama Bulan Henti Bicara itu tidak menafikannya, malah meletakkan nasibnya sebagai anak seni pada rezeki.
“Mungkin sebelum ini saya terlalu selesa atau belum menerima naskhah yang benar-benar mencabar. Sekarang saya lebih fokus kepada perjalanan sendiri dan tidak lagi memikirkan siapa yang lebih popular daripada saya.
“Saya percaya setiap orang ada rezeki dan perjalanan masing-masing. Mungkin sebab itu bila dapat watak seperti Afghan saya terus ambil. Bila lagi mahu dapat watak yang mencabar begini?
“Bukan saya kata watak romantik komedi itu tidak bagus, tetapi saya mahu orang nampak kemampuan saya sebagai pelakon,” jelasnya.
Ali bagaimanapun mengakui dirinya bersyukur kerana rezeki tawaran lakonannya tidak putus-putus sejak tahun lalu, selain menganggap itulah permulaan untuk perjalanan seninya.
“Alhamdulillah, sejak September tahun lalu sampai sekarang saya bekerja tanpa henti. Saya buat drama 40 episod, kemudian 10 episod, 13 episod dan sekarang 28 episod.
“Memang meletihkan dari segi fizikal, mental dan emosi, tetapi saya anggap ini sebagai proses untuk meningkatkan kemampuan diri,” ujarnya.










