SEPANG: “Saya diseret kira-kira 200 meter dan disuruh melutut selama satu jam dengan tangan dilipat ke belakang sehingga hampir patah,” itu pengalaman ngeri dikongsikan Prof. Emeritus Datuk Dr. Mohd. Alauddin Mohd. Ali, salah seorang aktivis Misi Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Miles to Gaza (TMTG), selepas tiba selamat di tanah air hari ini.
Beliau menceritakan insiden berlaku selepas kapal yang dinaiki ditahan tentera Israel di perairan antarabangsa berhampiran Gaza sebelum semua aktivis dibawa ke Pelabuhan Ashdod dan seterusnya ke Penjara Ketziot di Negev, Israel.
“Saya antara yang diseret keluar kapal selepas hampir 14 jam ditahan di tengah laut. Mereka arahkan kami melutut di atas jalan batu selama sejam, tangan diikat ke belakang, lutut memang terasa sakit. Ada aktivis dari negara lain yang lebih teruk dipukul dan ditendang,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Dr. Alauddin, yang mengetuai sembilan wakil Malaysia, menegaskan walaupun berdepan kekasaran fizikal, beliau dan rakan tetap tenang dan tidak menyesal menyertai misi kemanusiaan itu.
“Kalau nak dibandingkan penderitaan kami, ia sangat kecil berbanding rakyat Gaza yang dizalimi berbulan-bulan tanpa henti,” katanya.
Beliau turut menjelaskan sepanjang misi, tiada insiden sabotaj berlaku dan semua peserta dipilih dengan teliti oleh penganjur antarabangsa bagi memastikan keselamatan dan kesatuan pasukan.
Sementara itu, Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) mengesahkan kesemua sembilan rakyat Malaysia yang ditahan rejim Israel selamat tiba di KLIA Terminal 1 pukul 3.55 petang dalam keadaan sihat dan stabil.
Misi kemanusiaan FFC dan TMTG dipintas tentera Israel pada 8 Oktober lalu ketika berada di perairan antarabangsa berhampiran Semenanjung Gaza sebelum semua peserta dibawa ke Pelabuhan Ashdod dan dipindahkan ke Penjara Ketziot di Negev.










