Pengalaman ahli keluarga mangsa ‘scam’ di Korea Selatan jadi ilham filem - Pengarah - Utusan Malaysia

Pengalaman ahli keluarga mangsa ‘scam’ di Korea Selatan jadi ilham filem – Pengarah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUBANG: Pengarah, Rahila Ali mendedahkan filem terbaharunya, Tiket Sehala bukan sekadar karya fiksyen, sebaliknya diinspirasikan daripada kisah benar membabitkan mangsa penipuan tawaran pekerjaan atau scam di Korea Selatan.

Menurut Rahila, idea menghasilkan naskhah tersebut tercetus selepas mendengar pengalaman pahit yang dilalui ahli keluarga terdekatnya yang pernah menjadi mangsa sindiket berkenaan.

“Filem ini memang diinspirasikan daripada kisah benar. Idea ini timbul apabila ada ahli keluarga sendiri datang berkongsi pengalaman mereka menjadi mangsa scam.

“Malah, kami sendiri mengeluarkan wang bagi membantu membawa mereka pulang ke tanah air.

“Bukan itu sahaja, penyanyi Haiza juga pernah melalui pengalaman sama apabila membantu rakan baik adiknya yang terkandas di Korea Selatan akibat ditipu.

“Premis ‘ladang bawang’ yang dipaparkan dalam filem ini juga diambil daripada kisah sebenar,” katanya ketika ditemui pada sidang media dan tayangan treler filem itu, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Rahila berkata, proses menyiapkan skrip mengambil masa enam bulan dengan lebih 10 draf dirombak sebelum penggambaran dimulakan di Korea Selatan.

“Lebih 10 draf skrip dirombak sepanjang tempoh enam bulan sebelum ia benar-benar bersedia untuk difilemkan.

“Kami bekerjasama dengan syarikat produksi tempatan di Korea Selatan.

“Walaupun mencabar, saya amat kagum dengan disiplin kerja kru dan pelakon tambahan di sana. Mereka sangat efisien, malah waktu makan hanya sekitar 10 minit sebelum kembali menyambung kerja.

“Bagi pelakon utama pula, kami menampilkan lima pelakon dari Korea Selatan yang dipilih menerusi sesi uji bakat di negara itu. Walaupun mereka bukan pelakon kelas A yang dikenali di Malaysia, bakat serta disiplin mereka sangat luar biasa,” katanya.

Dalam pada itu, Rahila menjelaskan Tiket Sehala bukan sebuah filem aksi, sebaliknya mengangkat perjuangan manusia untuk terus hidup dalam keadaan yang mencabar.

“Ini ialah sebuah kisah mengenai kelangsungan hidup. Penonton akan melihat bagaimana setiap watak bergelut antara hidup dan mati, sama ada sanggup menggadaikan maruah atau mempertahankan prinsip demi menyelamatkan nyawa.

“Ia merupakan naskhah yang menguji emosi serta nilai harga diri manusia,” katanya.

Tiket Sehala dijangka menemui penonton di pawagam pada Ogos depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN