SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun sehingga kini masih belum mengetahui kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bakal ditandinginya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang bermula minggu hadapan.
Penyandang kerusi DUN Sikamat sejak 2008 itu memaklumkan, persoalan itu akan terjawab apabila Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkannya pada 14 Julai ini.
“Saya tidak ada apa-apa komen lagi. Saya pun tak tahu mana hendak bertanding.
“Belum diberitahu lagi. Jadi, tunggu sahaja pengumuman Presiden (Datuk Seri Anwar Ibrahim),” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Penyampaian Geran Khas Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di sini hari ini.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan Aminuddin dikhabarkan akan bertanding di DUN Linggi pada PRN Negeri Sembilan kali ini.
Spekulasi itu semakin kuat memandangkan Aminuddin merupakan Ahli Parlimen Port Dickson selain sebagai Ketua PKR Cabang Port Dickson.
Dalam pada itu, beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan berkata, senarai calon dari PKR akan diumumkan oleh Perdana Menteri di Kuala Pilah.
Mengulas tindakan beberapa individu yang sudah mula memperkenalkan diri sebagai calon di kawasan tertentu, Aminuddin berkata, perkara itu merupakan hak masing-masing.
“Itu mungkin dia sudah memperkenalkan diri. Terpulang kepada masing-masing, jaga masing-masing. Nasihat saya, semua perlu bekerja ke arah kemenangan. Apa-apa pun, tunggu pengumuman daripada Presiden, itu yang paling tepat sekali,” katanya. – UTUSAN










