TEHERAN: Perkhidmatan kereta api antara Teheran dan Mashhad digantung susulan serangan Amerika Syarikat (AS), lapor televisyen kerajaan Iran pada hari Khamis.
Ia digantung beberapa jam sebelum pengebumian Pemimpin Tertinggi Allahyarham Ayatollah Ali Khamenei dijadual berlangsung di bandar suci Mashhad di timur Iran.
Syarikat Kereta Api Republik Islam Iran menyalahkan serangan jenayah oleh musuh Amerika dan Israel ke atas laluan tersebut dan memaklumkan bahawa pasukan pembaikan telah dihantar ke lokasi, menurut penyiar rasmi negara.
Pengangkutan jalan raya turut disediakan bagi membantu penumpang yang terkandas.
Sebelum itu, Pengawal Revolusi Iran menuduh AS menyasarkan dua jambatan di wilayah timur yang menuju ke Mashhad dalam usaha menjejaskan majlis pengebumian Khamenei, menurut laporan televisyen kerajaan.
Pengebumian di Mashhad, kampung halaman Khamenei, merupakan acara terakhir dalam siri upacara penghormatan yang berlangsung selama beberapa hari.
Sebelum itu, jenazah beliau ditempatkan untuk penghormatan terakhir di Teheran sebelum dibawa dalam perarakan melalui ibu negara Iran dan dua bandar suci di Iraq, Najaf serta Karbala.
Khamenei terbunuh dalam serangan AS dan Israel pada 28 Februari yang mencetuskan perang di Asia Barat.
Walaupun Washington dan Teheran telah bersetuju melaksanakan gencatan senjata dan menandatangani memorandum persefahaman ke arah perjanjian damai jangka panjang, hari Khamis menyaksikan malam kedua berturut-turut kedua-dua pihak saling melancarkan serangan. – AFP










