BUKIT MERTAJAM: Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek menyifatkan kepulangan 23 aktivis kemanusiaan Malaysia dari misi Global Sumud Flotilla (GSF) bukti keupayaan diplomasi kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, perkembangan itu menunjukkan keupayaan kepimpinan negara memastikan keselamatan rakyat Malaysia di luar negara sentiasa menjadi keutamaan.
“Saya ambil kesempatan ini untuk ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana kita telah dimaklumkan bahawa semua aktivis kita akan dibawa pulang dari Istanbul ke Kuala Lumpur.
“Saya fikir ini adalah kejayaan yang besar kerana hubungan diplomasi, diplomatik yang cukup tinggi dan kepimpinan Perdana Menteri membolehkan semua aktivis kita ini pulang dengan selamat.
“InsyaAllah kita bawa mereka pulang dan rancang semula bagaimana kita harus membawa terus mesej dan juga misi-misi kemanusiaan ini ke hadapan khusus untuk terus memberikan sokongan kepada rakyat Gaza,” katanya selepas merasmikan Kempen Anti Buli 2025 anjuran Wanita Keadilan Pulau Pinang bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Yayasan Aman di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan kesemua 23 sukarelawan Malaysia dalam misi Global Sumud Flotilla sudah selamat tiba di Istanbul, Turkiye.
Menurut Perdana Menteri, kesemua mereka akan diberikan pemeriksaan kesihatan, sokongan dan bantuan menyeluruh termasuk aspek psikologi. – UTUSAN










