PETALING JAYA: Ibu bapa digesa menjadi benteng utama dalam membendung gejala buli di sekolah dengan memastikan pendidikan, sahsiah dan nilai murni anak-anak bermula dari rumah.
Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Datuk Seri Ayub Yaakob berkata, dalam menghadapi cabaran ini, ibu bapa perlu memainkan peranan penting dan lebih aktif mendidik anak-anak.
“Mendidik anak-anak adalah bermula dari rumah. Jangan sesekali kita melepaskan tanggungjawab ini kepada pihak sekolah dan guru semata-mata.
“Sekolah dan guru hanya menerima pelajar hasil didikan ibu bapa,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Ayub, semua sektor masyarakat termasuk pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), komuniti setempat, badan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik dan penyelidik seharusnya menyumbangkan kepakaran dan khidmat bakti dalam menangani isu ini.
Katanya, dalam usaha membentuk masyarakat yang lebih selamat, adalah amat penting untuk semua pihak berfikir secara kolektif, berbincang dan merancang tindakan yang terbaik.
“Janganlah terlalu cepat membuat spekulasi atau ulasan negatif yang tidak berasas yang hanya akan mengganggu proses penyelesaian yang lebih berkesan.
“Sebaliknya, marilah kita memberikan sokongan penuh kepada langkah-langkah yang telah dirancang dan dilaksanakan oleh pihak berwajib,” katanya.
Beliau menegaskan isu ini adalah sesuatu yang sangat kritikal dan perlu diberi perhatian serius, khususnya dalam kalangan generasi muda yang bakal menjadi pewaris masa hadapan negara.
Katanya, ini merupakan isu nasional dan ia bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata, sebaliknya melibatkan komitmen semua pihak bermula di peringkat sekolah hingga ke masyarakat secara keseluruhannya.
“Menerusi perancangan yang teliti, pelaksanaan berkesan serta pemantauan berterusan, kita pasti dapat mengatasi masalah ini.
“Dengan komitmen yang jitu dan kerjasama erat daripada semua pihak, kita dapat mewujudkan persekitaran sekolah yang lebih selamat dan harmoni sekali gus membentuk generasi muda yang berdisiplin, bertanggungjawab serta bebas dari jenayah,” katanya. – UTUSAN










