RAUB: Detik cemas dilalui seorang pemandu lori berusia 37 tahun apabila dia mendakwa dilarikan tiga lelaki sejauh 34 kilometer dari Bentong ke Raub, di sini sebelum ditinggalkan dalam keadaan tangan terikat dan mata ditutup, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintenden Mohd. Shahril Abdul Rahman berkata, kejadian kira-kira pukul 11.30 malam itu hanya disedari apabila seorang lelaki India menemukan mangsa yang tidak mengalami kecederaan meminta tolong di tepi jalan berhampiran Taman Sri Wawasan , di sini.
“Sepasukan anggota peronda polis kemudian digerakkan ke lokasi sebelum membawa mangsa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Raub untuk tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Menurut Mohd. Shahril, siasatan awal mendapati, mangsa yang bekerja sebagai pemandu lori treler membawa muatan besi dari Balakong, Selangor ke Gua Musang, Kelantan, singgah berehat di sebuah warung makan di sempadan Bentong–Raub untuk mandi dan menukar pakaian sebelum diserang.
“Ketika selesai mandi, mangsa didatangi tiga lelaki yang mengikat tangannya sebelum dibawa masuk ke dalam sebuah kereta.
“Selepas kira-kira sejam berada di dalam kenderaan itu, mangsa diturunkan di tepi jalan berhampiran Taman Sri Wawasan dalam keadaan mata ditutup dengan pita pelekat hitam. Siasatan turut mendapati motif utama kumpulan suspek adalah untuk melarikan lori treler yang membawa muatan besi berkenaan,” katanya yang memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan. – UTUSAN










