IPOH: Komplikasi diabetes pada mata, iaitu penyakit diabetik retinopati direkodkan sebagai antara ancaman kebutaan utama yang semakin meningkat berdasarkan tinjauan terkini.
Keputusan Tinjauan Mata Kebangsaan Ke-4 2025 menunjukkan diabetik retinopati adalah penyebab kebutaan iaitu sebanyak 13 peratus di Zon Utara (Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis) walhal ia bukan satu penyebab semasa Tinjauan Mata Kebangsaan Ke-2 pada tahun 2014.
Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Mohd Azman Yacob berkata, kini ramai yang mengalami masalah kebutaan akibat diabetes.
“Sekiranya ada kalangan mereka yang mengalami masalah penyakit tidak berjangkit (NCD). Mereka harus membuat pemeriksaan mata sekurang-kurangnya enam bulan atau setahun sekali,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Sambutan Hari Penglihatan Sedunia Tahun 2025 di sini hari ini.
Antara masalah mata lain yang dibangkitkan beliau adalah katarak serta kekeringan mata (dry eyes) yang turut memerlukan perhatian oleh banyak pihak.
Mengenai katarak, Dr. Mohd Azman berkata, pelbagai usaha dijalankan untuk mengawal masalah mata tersebut termasuk Klinik Katarak Kementerian Kesihatan Malaysia (KK-KKM) yang diwujudkan sejak 2013 sebagai komitmen untuk mencegah kebutaan akibat katarak.
“Tempoh menunggu pembedahan katarak di hospital KKM telah berjaya dikurangkan. Ini membolehkan para pesakit mendapat rawatan dalam tempoh yang munasabah, tidak perlu tunggu sampai setahun untuk membuat pembedahan. Kini dua hingga tiga bulan sudah boleh membuat pembedahan,” katanya. – UTUSAN










