HULU LANGAT: Kos rawatan penyakit tidak berjangkit (NCD) kini mencecah RM64.3 bilion setahun melebihi keseluruhan belanjawan Kementerian Kesihatan sebanyak RM46.52 bilion.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, situasi tersebut merupakan satu isyarat jelas bahawa Malaysia tidak lagi boleh bergantung kepada pendekatan rawatan penyakit.
Katanya, negara perlu mengubah fokus daripada strategi rawatan kepada strategi pencegahan serta pemerkasaan rakyat melalui reformasi sistem kesihatan yang mampu menentukan produktiviti tenaga kerja pada masa depan.
“Kerajaan mahu merakyatkan kesihatan dengan memperluas akses supaya rakyat lebih celik kesihatan.
“Pendekatan itu juga selaras dengan Dasar Literasi Kesihatan Kebangsaan yang menjadi panduan dalam melahirkan masyarakat berpengetahuan dan berupaya membuat keputusan bijak demi kesejahteraan diri,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian dan Hari Terbuka Wellness Hub Hulu Langat di Bandar Seri Putra di sini hari ini.
Dzulkefly berkata, kesihatan bukan lagi dilihat sebagai isu sektor semata-mata, sebaliknya prasyarat kepada kemakmuran negara dalam kerangka Malaysia Madani.
Beliau berkata, penubuhan Wellness Hub Hulu Langat merupakan salah satu bentuk reformasi sistem kesihatan yang berfungsi sebagai platform strategik untuk menangani isu kritikal seperti bantut dan malnutrisi dalam kalangan kanak-kanak menerusi perkhidmatan rundingan pemakanan.
“Rakyat yang sihat adalah rakyat yang produktif, berdaya saing dan mampu menyumbang secara bermakna kepada pembangunan negara.
“Sehingga kini, lebih dua juta rakyat telah menerima pakej perkhidmatan kesejahteraan kesihatan di wellness hub yang dilaksanakan secara bersasar berasaskan keperluan individu bagi pengurusan faktor risiko kesihatan,” katanya. – UTUSAN










