KUALA LUMPUR: Penyakit tidak berjangkit (NCD) kekal sebagai penyumbang utama kematian di Malaysia dengan penyakit jantung iskemia mencatatkan sebanyak 18,121 kematian atau 15.1 peratus daripada keseluruhan kematian pada 2023.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, menurut Laporan Perangkaan Sebab Kematian Malaysia 2024 diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan (DOSM), penyakit jantung iskemia merupakan punca kematian kedua tertinggi di negara ini.
“Laporan itu menunjukkan penyakit kardiovaskular lain mencatatkan 8,657 kematian (7.2 peratus), diikuti barah trakea, bronkus dan paru-paru sebanyak 2,373 kematian (dua peratus) serta barah kolon, rektum dan anus sebanyak 2,070 kematian (1.7 peratus).
“Selain itu, diabetes mellitus dilaporkan menyebabkan 1,975 kematian (1.7 peratus), manakala hipertensi mencatatkan 1,738 kematian (1.5 peratus) dan barah payudara pula menyebabkan 1,681 kematian (1.4 peratus) pada tahun sama,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman rasmi Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan Yuneswaran Ramaraj (PH-Segamat) mengenai jumlah kematian disebabkan oleh NCD, kanser, penyakit kardiovaskular, diabetes, strok dan tekanan darah tinggi dari 2024 sehingga September 2025 serta langkah diambil Kementerian kesihatan (KKM) bagi mengurangkan kematian yang disebabkan oleh NCD.
Dzulkefly berkata, menurut laporan tersebut, penyakit tidak berjangkit kekal sebagai ancaman kesihatan terbesar negara sekali gus menuntut perhatian serius terhadap langkah pencegahan dan perubahan gaya hidup masyarakat.
“NCD seperti penyakit jantung, diabetes, hipertensi dan pelbagai jenis barah bukan sahaja menyebabkan kematian pramatang, tetapi turut memberi kesan besar terhadap kualiti hidup rakyat dan sistem kesihatan negara.
“Peningkatan kes kematian akibat penyakit tidak berjangkit ini dikaitkan dengan faktor gaya hidup moden termasuk tabiat pemakanan tidak sihat, kekurangan aktiviti fizikal, merokok serta tekanan hidup yang tinggi,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan turut memperkenalkan beberapa inisiatif rentas kementerian termasuk Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI) dan PeKa B40 bagi mengesan awal penyakit tidak berjangkit dalam kalangan rakyat berisiko tinggi.
“Pelaksanaan Cukai Minuman Bergula (SSB), Program Hidangan Berkhasiat di Sekolah (HiTS) serta kempen kesedaran komuniti turut diselaraskan bagi menggalakkan gaya hidup sihat dan mencegah peningkatan kes NCD di negara ini,” katanya. – UTUSAN










