SHAH ALAM: Petugas kesihatan di pelbagai peringkat tidak terkecuali terdedah pelbagai risiko ditempat kerja dan perlu melalui pengurusan keselamatan pekerjaan yang berkesan bagi mencegah sebarang kemalangan.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata,statistik tahun 2024 menunjukkan sebanyak 5,617 notifikasi kemalangan, kejadian berbahaya dan penyakit pekerjaan direkodkan dalam kalangan petugas kesihatan.
“Daripada jumlah ini, 2,836 kes melibatkan kemalangan di tempat kerja dan semasa berulang-alik, 1,687 kes kecederaan tusukan jarum, manakala penyakit pekerjaan termasuk dermatitis, tuberkulosis dan kehilangan pendengaran akibat bunyi bising turut dilaporkan.
“Fakta itu menunjukkan petugas kesihatan sentiasa terdedah kepada pelbagai risiko di tempat kerja, tetapi boleh dicegah dan dikawal,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Sambutan Seminar dan Hari Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan 2025 dan pelancaran Garis Panduan Perkhidmatan Kesihatan Pekerjaan di Fasiliti Kementerian Kesihatan (GP PKP), hari ini.
Beliau berkata, antara syarat penting untuk memastikan pengurusan kesihatan berjalan dengan baik adalah penyediaan perkhidmatan kesihatan pekerjaan yang khusus untuk petugas kesihatan.
“Justeru, pelancaran GP PKP pada hari ini sangat bertepatan bagi memastikan pengurusan kesihatan pekerjaan dapat diperkasakan.
“Garis panduan berkenaan menjadi tonggak penting dalam memperkukuh perkhidmatan kesihatan pekerjaan dan berfungsi sebagai rujukan komprehensif bagi melindungi hampir 300,000 warga kerja KKM yang terdedah kepada risiko biologi, kimia, fizikal, ergonomik dan psikososial,”katanya.
Katanya Dzulkefly lagi, keupayaan Perkhidmatan Kesihatan Pekerjaan (PKP) di kementeriannya kini merangkumi 61 fasiliti kesihatan di seluruh negara, dengan 57 fasiliti menempatkan Doktor Kesihatan Pekerjaan (OHD) secara khusus untuk melaksanakan fungsi utama perkhidmatan ini.
Tambahnya, keupayaan tersebut turut diperkukuh dengan aset klinikal yang terdiri daripada 28 unit audiometer (dengan 17 pusat diiktiraf sebagai Audiometric Test Centre, ATC) serta 37 unit spirometer.
“Perkhidmatan Kesihatan Pekerjaan juga diintegrasikan dengan Inisiatif Kesihatan Paru-paru (Lung Health Initiative, LHI) yang menggunakan teknologi X-ray dada berasaskan kecerdasan buatan (Al).
“Inisiatif ini membolehkan pengesanan awal penyakit paru-paru berkaitan pekerjaan seperti tuberkulosis serta kanser paru-paru.Setakat ini, ia telah dilaksanakan di tujuh klinik kesihatan dan akan diperluaskan ke 150 klinik menjelang tahun 2026,” ujarnya. – UTUSAN










