PETALING JAYA: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menyokong kenaikan cukai eksais ke atas tembakau dan alkohol sebagai langkah proaktif kerajaan mengurangkan kadar penyakit tidak berjangkit (NCD).
Presiden MMA, Datuk Dr. Thirunavukarasu Rajoo bagaimanapun berkata, rokok elektronik atau vape perlu segera diharamkan sepenuhnya berikutan kesannya yang semakin membimbangkan terhadap kesihatan generasi muda di negara ini.
Katanya, MMA mengalu-alukan komitmen kerajaan terhadap sektor kesihatan melalui peruntukan berjumlah RM46.5 bilion yang mencerminkan pengiktirafan terhadap keperluan memperkukuh sistem kesihatan selaras dengan Kertas Putih Kesihatan.
“MMA turut menghargai kenaikan elaun tugas atas panggilan (ETAP) bagi doktor dan pakar perubatan serta menyifatkan 4,500 jawatan tetap untuk doktor kontrak sebagai langkah positif.
“Bagaimanapun, perancangan jangka panjang bagi peranan kritikal lain dalam sistem kesihatan adalah penting untuk memastikan kelangsungan perkhidmatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr. Thirunavukarasu turut menyuarakan kekecewaan terhadap keputusan kerajaan mengekalkan kadar minimum yuran konsultasi doktor am (GP) pada RM10 yang tidak berubah sejak Jadual Yuran MMA 1992, meskipun semakan semula yuran dilakukan selepas 17 tahun.
Katanya, kadar minimum yang rendah tidak mencerminkan nilai sebenar peranan GP sebagai barisan hadapan perkhidmatan kesihatan.
“MMA sejak sekian lama mencadangkan kadar minimum RM50 kerana lebih 60 peratus pesakit datang melalui pentadbir pihak ketiga (TPA) dan syarikat yang membayar kurang daripada RM35.
“Dengan lebih 10,000 klinik di seluruh negara, kadar minimum yang rendah ini dikhuatiri akan memburukkan persaingan tidak sihat dan tekanan kewangan sekali gus menjadikan model perkhidmatan ini tidak mampan dalam jangka masa terdekat,” katanya.
Tambah beliau, MMA menyambut baik peruntukan bagi menaik taraf hospital dan klinik serta meningkatkan keupayaan digital, namun pembangunan infrastruktur sahaja tidak mencukupi tanpa tenaga kerja kesihatan yang mencukupi termasuk doktor, jururawat dan pegawai kesihatan bersekutu.
Malah katanya, cadangan memperkenalkan kaedah pembiayaan alternatif kesihatan dilihat sebagai langkah positif, namun penggunaan simpanan Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) menimbulkan kebimbangan kerana ia boleh menjejaskan kesejahteraan kewangan jangka panjang rakyat. – UTUSAN










