DBKL sedia jadikan Kuala Lumpur nadi seni negara - Utusan Malaysia

DBKL sedia jadikan Kuala Lumpur nadi seni negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seni dan budaya bukan sekadar warisan, sebaliknya mencerminkan identiti serta kekuatan sosial sesebuah masyarakat.

Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosioekonomi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Ismadi Sakirin berkata, pihaknya menyokong penuh usaha untuk menyemarak, membangun dan memperkasa ekosistem seni serta budaya di ibu negara sama ada melalui pelaksanaan program, kolaborasi mahupun penyediaan fasiliti komuniti budaya.

Beliau berkata, kerajaan turut menzahirkan sokongan terhadap sektor seni dan budaya menerusi Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2026, yang memperuntukkan dana khusus bagi memperkukuh serta menambah baik industri berkenaan.

“Antara inisiatif penting termasuklah menaik taraf Panggung Anniversari sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Selain itu, pelaksanaan program Ikhtiar Warisan KL bernilai RM15 juta turut merangkumi penganjuran aktiviti place making, program budaya, ekonomi kreatif serta pembangunan komuniti setempat,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Seni Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Pada majlis sama, beliau turut mengumumkan bahawa Bangunan Sultan Abdul Samad dijangka dibuka pada Februari tahun hadapan sebagai hab aktiviti budaya dan ekonomi kreatif.

“Ia bakal menghidupkan semula kawasan warisan Kuala Lumpur dengan wajah baharu yang lebih segar dan inklusif,” katanya.

Tambahnya, usaha berterusan ini menunjukkan bahawa sektor budaya bukan lagi berada di pinggiran, sebaliknya diiktiraf sebagai pemangkin ekonomi kreatif dan pelancongan budaya negara.

“Langkah ini selaras dengan misi nasional untuk memperkasa ekosistem pelancongan dan kebudayaan yang inklusif,” katanya.

Beliau turut berkata, DBKL berbangga dapat bekerjasama dengan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dalam pelaksanaan pelbagai program berimpak tinggi di ibu negara seperti Festival Permainan Malaysia, IFTAR@KL, Pesta Teater Kuala Lumpur, KL Park Festival 2025 dan pelbagai lagi inisiatif seni budaya.

Dalam pada itu, Ismadi yang mewakili Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif memaklumkan, DBKL kini berada dalam keadaan siap siaga sepenuhnya bagi menyambut kehadiran delegasi negara-negara ASEAN sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang akan berlangsung di ibu negara minggu hadapan.

“DBKL akan terus memantau kawasan sekitar ibu kota dan bersedia mengambil tindakan segera sekiranya terdapat keperluan penambahbaikan.

“Kita juga mengharapkan kerjasama penuh daripada warga Kuala Lumpur untuk menjaga kebersihan dan imej bandar raya sepanjang persidangan berlangsung,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN