MADRID: Bekas Perdana Menteri Sepanyol daripada parti konservatif, Mariano Rajoy, menerima kecaman di Sepanyol dan Perancis selepas beliau mendakwa pasukan Les Bleus ‘tiada pemain Perancis’.
Kenyataan itu diterbitkan dalam sebuah rencana pendapat di laman berita dalam talian Sepanyol, El Debate, ketika Sepanyol sedang membuat persiapan untuk menentang Perancis esok dalam perlawanan separuh akhir Piala Dunia yang dinanti-nantikan.
Perdana Menteri Sepanyol ketika ini, Pedro Sánchez, mengecam kenyataan tersebut sebagai ‘xenofobik’.
“Ada pihak yang masih mengukur rasa kebersamaan berdasarkan nama keluarga, tempat lahir atau warna kulit. Yang lain pula mengukurnya berdasarkan akar kita di sesebuah negara dan kesediaan kita untuk menyumbang kepadanya.
“Sepanyol adalah milik mereka yang mencintainya dan berusaha untuknya. Bukan milik mereka yang memalukannya dengan kenyataan berunsur xenofobia,” tulis pemimpin Parti Sosialis itu di platform X.
Menteri Pengangkutan Sepanyol, Óscar Puente, pula menyifatkan Rajoy sebagai “seorang dungu pasca-Franco”.
Ahli-ahli politik Perancis turut mengecam kenyataan Rajoy itu.
Menteri Dalam Negeri Perancis, Laurent Nuñez berkata kepada saluran BFMTV bahawa kenyataan Rajoy adalah sama sekali tidak boleh diterima.
Menteri Wilayah Seberang Laut Perancis, Naïma Moutchou, menyifatkan kenyataan tersebut sebagai bukti kebencian yang sistematik dan meluas terhadap Perancis serta identiti negara itu.
“Setiap kali Les Bleus menang, obsesi perkauman dan penghinaan yang sama akan muncul semula,” katanya. – AFP/UTUSAN










