Penyata JKPK pemisahan Peguam Negara, Pendakwa Raya dibentang esok

Penyata JKPK pemisahan Peguam Negara, Pendakwa Raya dibentang esok

AZALINA OTHMAN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyata Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Mengenai Pindaan Perlembagaan Persekutuan Berkaitan Pengasingan Peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya akan dibentangkan di Dewan Rakyat esok.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pembentangan itu membuktikan komitmen kerajaan dalam memperkukuh kedaulatan undang-undang, kebebasan institusi serta meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara.

Menurutnya, JKPK yang bersidang sebanyak tujuh kali berjaya memperhalusi cadangan asal pindaan Perlembagaan menerusi tujuh penambahbaikan utama yang bertujuan mempertingkatkan kebebasan, integriti dan akauntabiliti institusi Pendakwa Raya.

“Antara penambahbaikan tersebut ialah memperkasa peranan Parlimen dalam proses pelantikan Pendakwa Raya, pelantikan oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP) tanpa penglibatan Perdana Menteri atau Jemaah Menteri.

“Selain itu, turut dicadangkan tempoh jawatan tetap selama tujuh tahun tanpa pembaharuan, pengenalan Kod Etika Pendakwa Raya serta kuasa kepada Parlimen menggubal undang-undang lanjut bagi memperkukuh institusi itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azalina berkata, kerajaan turut mencadangkan penambahbaikan terhadap Fasal (18) Perkara 145A Perlembagaan Persekutuan bagi memperkukuh peranan Parlimen dalam proses pelantikan Pendakwa Raya.

Katanya, menerusi pindaan itu, SPKP perlu mengemukakan nama calon kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat untuk dibentangkan di Dewan Rakyat sebelum diteliti oleh Jawatankuasa Pilihan sebelum mengemukakan syor kepada SPKP.

“Selaras dengan syor tersebut, SPKP hanya akan menasihati Yang di-Pertuan Agong berhubung nama yang disyorkan oleh Dewan Rakyat.

“Langkah ini bertujuan memperkukuh mekanisme semak dan imbang tanpa menjejaskan kebebasan Pendakwa Raya atau kedudukan Yang di-Pertuan Agong di bawah Perlembagaan,” katanya.

Beliau berkata, reformasi itu bukan sekadar memisahkan fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya, sebaliknya membina institusi pendakwaan yang lebih bebas, telus dan bertanggungjawab bagi meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara.

“Usaha itu juga merupakan sebahagian daripada legasi reformasi institusi yang bertujuan mewujudkan institusi yang lebih kukuh, berintegriti, berdaya tahan serta diyakini demi kepentingan generasi akan datang,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN