DAKAR: Jurulatih Senegal, Pape Thiaw dipecat susulan kegagalan pasukannya melepasi pusingan 32 terbaik Piala Dunia, menurut Persekutuan Bola Sepak Senegal (FSF), semalam.
FSF dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa keputusan itu dibuat selepas mesyuarat jawatankuasa eksekutifnya, yang turut bersetuju menamatkan khidmat keseluruhan barisan kejurulatihan pasukan kebangsaan.
Presiden FSF, Abdoulaye Fall, dijadual mengadakan sidang media bagi menjelaskan sebab-sebab di sebalik keputusan berkenaan serta menggariskan perancangan masa depan pasukan kebangsaan.
Thiaw, 45, bekas pemain antarabangsa Senegal, dilantik sebagai ketua jurulatih pada 2024.
Namun, beliau gagal memenuhi jangkaan apabila Senegal mempamerkan aksi hambar di Piala Dunia. Pasukan yang dikenali sebagai Singa Teranga itu tewas kepada Perancis dan Norway pada saingan peringkat kumpulan sebelum kemenangan 5-0 ke atas Iraq memastikan mereka layak ke pusingan kalah mati.
Perjalanan Senegal bagaimanapun berakhir di pusingan 32 terbaik apabila tewas 3-2 kepada Belgium selepas masa tambahan, walaupun sempat mendahului 2-0 sehingga minit ke-86.
Di bawah kendalian Thiaw, Senegal pernah muncul juara Piala Negara-Negara Afrika pada Januari. Bagaimanapun, gelaran itu kemudian dilucutkan sebagai hukuman selepas pasukan berkenaan bertindak meninggalkan padang ketika perlawanan akhir yang penuh kontroversi menentang Maghribi. – AFP/UTUSAN










