PETALING JAYA: Sebarang perubahan kadar caj rawatan di klinik dan hospital kerajaan perlu dilakukan secara menyeluruh dan berstruktur agar tidak membebankan rakyat berpendapatan rendah.
Ketua Strategi dan Pengurusan Risiko Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Razli Ramli berkata, beberapa pertimbangan boleh dibuat seperti memperkenal caj mengikut taraf pendapatan.
“Contohnya, caj RM1-RM5 untuk B40 dan golongan rentan seperti miskin bandar dan warga emas. Kedua, caj RM10-RM20 untuk M40 ke atas, bergantung kepada jenis rawatan.
“Ini kerana caj RM1 mungkin tidak lagi mencerminkan kos sebenar perkhidmatan tetapi sebarang kenaikan mesti bersifat progresif dan tidak membebankan golongan B40,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau ditanya mengenai kewajaran menaikkan kadar caj pendaftaran rawatan di klinik dan hospital kerajaan yang masih rendah dalam Belanjawan 2026.
Dalam pada itu, Razli berkata, kerajaan perlu melihat instrumen kewangan Islam seperti penerbitan sukuk dalam Belanjawan 2026 sebagai mekanisme membiayai pembangunan hospital, pusat rawatan pakar dan kemudahan kesihatan kawasan luar bandar.
Katanya, kerajaan boleh melihat dana wakaf kesihatan sebagai salah satu sumber pembiayaan alternatif.
“Inisiatif ini berpotensi menjana pendapatan mampan untuk sektor kesihatan melalui penglibatan wakaf korporat dan individu, khususnya membiayai perkhidmatan kesihatan dan penyelidikan perubatan.
“Mekanisme lain seperti zakat untuk kesihatan asnaf dengan menyalurkan sebahagian dana zakat untuk rawatan asnaf, khususnya dalam bentuk subsidi rawatan kritikal dan penyakit kronik.
“Hal ini kerana kesihatan merupakan antara sektor kritikal yang memerlukan tumpuan utama dan peruntukan strategik,” katanya.
Katanya, Belanjawan 2026 perlu mengambil kira insentif pelepasan cukai kepada syarikat menyumbang kepada sektor kesihatan melalui tanggungjawab sosial korporat, penyelidikan atau pembiayaan fasiliti kesihatan.-UTUSAN










