GUA MUSANG: Seorang buruh kampung mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas dua pertuduhan memiliki senjata berbahaya dan mencederakan seorang anggota polis di Felda Chiku 3, di sini minggu lalu.
Rosdi Muhamad, 48, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Nik Mohd. Tarmizie Nik Mohd. Shukri selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di keatasnya oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki sebilah pisau berhulu kayu bertulis Butterfly tanpa kebenaran yang sah. Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Chiku 3 pada pukul 12.30 tengah hari, 27 September lalu.
Bagi kesalahan tersebut, tertuduh didakwa mengikut Seksyen (6) (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun.
Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas anggota polis iaitu Lans Koperal Mohd. Afiq Aiman Mohd. Yusof semasa beliau sedang menjalankan tugasnya pada tempat, waktu dan tarikh sama. Kesalahan itu mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda atau kedua-keduanya jika tertuduh didapati bersalah.
Hakim kemudian membenarkan tertuduh membuat penilaian mental di hospital psikiatri mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah. Mahkamah juga menetapkan sebutan semula kes pada 13 November ini. – UTUSAN










