HULU TERENGGANU: Kerajaan menggalakkan pembangunan perladangan buluh sebagai industri baharu yang berpotensi tinggi di negara ini selaras dengan Pelan Tindakan Pembangunan Industri Buluh Malaysia 2021-2030.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin berkata, berdasarkan laporan Market Data Forecast, nilai eksport buluh dunia pada tahun lepas adalah USD70.78 bilion (RM299.43 bilion) dan meningkat kepada USD74.26 bilion (RM314.16 bilion) pada tahun ini.
Katanya, buluh berpotensi besar menyokong industri perkayuan negara kerana mempunyai lebih 70 spesies termasuk 45 spesies tempatan dan pada masa ini industri buluh disokong oleh 577 pengusaha yang terlibat dalam sektor papan, perabot, pembinaan, tekstil, makanan, arang serta kraftangan.
“Pada 2024, sektor agrikomoditi merekodkan nilai eksport RM186.5 bilion dan industri perkayuan merupakan penyumbang ketiga terbesar selepas sawit dan getah dengan sumbangan RM22.92 bilion.
“Daripada jumlah tersebut, nilai eksport produk buluh sebanyak RM18.91 juta, sedikit menurun 5.9 peratus berbanding RM20.09 juta pada tahun 2023 danpada masa sama, nilai import produk buluh meningkat kepada RM126.73 juta berbanding RM108.54 juta pada tahun sebelumnya,” katanya selepas Majlis Perasmian Hari Buluh Sedunia (WBD) Malaysia 2025 di Model Ladang Buluh Pusat Latihan Industri Pekayuan (TTITC), di Kampung Teris, di sini hari ini.
Kata beliau, kerajaan turut memberi perhatian kepada pembangunan buluh di peringkat komuniti bagi memastikan manfaat industri buluh dapat dinikmati secara inklusif oleh masyarakat khususnya di luar bandar.
Katanya, kerajaan melalui Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia turut melaksanakan Projek Pembangunan Community Farming Buluh (PPCFB) dengan penanaman seluas 135.4 hektar ladang buluh melibatkan usahawan ladang bersaiz kecil.
“Melalui program ini, insentif bantuan berbentuk anak pokok buluh dan baja serta latihan diberikan kepada peserta program yang mengusahakan ladang buluh di antara satu 0.4 hektar hingga 3.99 hektar.
“MTIB bersama TTITC telah merintis pembangunan Model Ladang Buluh bagi kawasan seluas 15 hektar di Hulu Terengganu yang berfungsi sebagai pusat penyelidikan, latihan, plot kajian serta eko-pelancongan. Penanaman spesies komersial utama seperti Betung, Beting, Beti, Brang, Madu dan Semantan dipilih kerana nilai pasaran dan potensi industrinya yang tinggi,” katanya. – UTUSAN










