PETALING JAYA: Kira-kira 81 peratus muka baharu akan dicalonkan Barisan Nasional (BN) termasuk 50 peratus anak muda dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah nanti.
Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, jumlah itu akan dipertaruhkan di 48 kerusi yang disasarkan BN dengan merangkumi UMNO, MCA dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), manakala selebihnya diserahkan kepada Pakatan Harapan (PH).
Katanya, senarai calon dan kerusi yang akan diumumkan seminggu sebelum hari penamaan calon yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada mesyuarat khasnya Khamis ini.
“Hampir 81 peratus adalah calon muka baharu dan anak-anak muda untuk BN menghadapi PRN Sabah dengan kerjasama PH untuk mengekalkan kestabilan politik di seluruh negara.
“Kita akan mengumumkan kerusi dan senarai calon satu minggu sebelum penamaan calon dan pada ketika itu juga kita akan melancarkan jentera pilihan raya BN. Kita juga akan melancarkan janji tawaran baharu kita iaitu rancangan pembangunan Sabah 1 kepada rakyat negeri Sabah.
“Bermacam-macam tawaran kita buat, tawaran-tawaran baharu kepada rakyat negeri Sabah untuk kita memperbetulkan ekonomi dan juga masa depan hidup rakyat negeri Sabah termasuk anak-anak muda,” katanya dalam sidang akhbar di Kota Kinabalu semalam.
Bung Moktar berkata, tiga masalah utama iaitu air, elektrik dan jalan raya akan diberi keutamaan untuk diselesaikan jika BN kembali menjadi kerajaan.
Katanya, isu air akan diselesaikan dalam masa tiga tahun, manakala masalah jalan raya dan elektrik akan diselesaikan secara terus menerus.
“Masalah air kita akan selesai dalam tiga tahun, jalan raya diselesai ‘straight forward’, cuma perlu tekanan, contohnya Lebuhraya Pan Borneo, kerajaan negeri perlu memberi tekanan kepada kerajaan Persekutuan mempercepatkan peruntukan.
“Isu elektrik ‘straight forward’ juga, yang masalah utama sekarang ini air bersih,” katanya.
Bung Moktar berkata, BN Sabah antara lain akan menggariskan pendidikan percuma kepada anak Sabah hingga ke universiti dan menubuhkan tabung kemakmuran negeri yang mengutamakan masa depan rakyat Sabah. – UTUSAN










