PETALING JAYA: Skuad badminton wanita negara gagal mara ke separuh akhir selepas tunduk kepada juara bertahan, Korea Selatan 1-3 pada suku akhir Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Aichi, Jepun, hari ini.
Malaysia membuka aksi menerusi perseorangan wanita, K. Letshanaa yang bukanlah tandingan kepada jaguh No. 1 dunia, An Se Young apabila dia tewas straight set 12-21, 8-21.
Kekalahan itu menyaksikan skuad negara ketinggalan 0-1 di belakang Korea Selatan.
Namun, Malaysia yang turut diperkuatkan beregu No. 5 dunia, Pearly Tan-M. Thinaah kembali mengikat Korea Selatan 1-1, setelah mereka mengejutkan juara dunia, Baek Ha Na-Lee So Hee 22-20, 21-17.
Kejayaan yang diukir Pearly-Thinaah itu sekurang-kurangnya memberi khabar gembira buat Malaysia menjelang aksi individu sebaik acara berpasukan berakhir nanti.
Kemenangan penting ke atas beregu pilihan memberi suntikan semangat kepada bekas pasangan No. 2 dunia itu yang gagal keluar daripada kemerosotan prestasi selepas Pearly pulih daripada kecederaan belakang.
Kedudukan 1-1 itu, bagaimanapun, tidak bertahan lama apabila Korea Selatan kembali memintas Malaysia setelah pemain ke-38 dunia, Wong Ling Ching terpaksa akur kepada Kim Ga Eun yang menghuni ranking No. 12 dunia 12-21, 18-21.
Beregu pecah ganding, Cheng Su Yin-Low Zi Yu yang menjadi pertaruhan skuad kebangsaan untuk menyamakan kedudukan menjadi 2-2, gagal berbuat demikian apabila pasangan muda itu tumpas dalam pertarungan sengit 21-18, 11-21, 22-24.
Keputusan 3-1 yang berpihak kepada Korea Selatan, tidak memerlukan pertemuan antara pemain remaja negara, Oo Shan Zi bertemu dengan Kim Ga Ram dalam aksi perseorangan ketiga. – UTUSAN











