TAWAU: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menyeru rakyat Sabah agar terus memberikan mandat yang kukuh kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17).
Nizam berkata, ia bagi memastikan kesinambungan pembangunan dan kestabilan ekonomi negeri itu terutama dalam melaksanakan rancangan pembangunan yang telah dirangka menerusi Dasar Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Pembubaran (DUN) semalam menandakan bermulanya satu lagi proses penting dalam sistem demokrasi negeri, di mana rakyat diberi peluang untuk menentukan hala tuju masa depan Sabah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Semalam, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman bagi memberi laluan kepada pelaksanaan pilihan raya negeri.
Nizam yang juga Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) berkata, sejak diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri ke-16, kerajaan GRS telah menunjukkan keupayaan mentadbir dengan penuh tanggungjawab serta berjaya meletakkan asas kukuh bagi pembangunan negeri melalui pelaksanaan dasar SMJ.
“GRS telah membuktikan keupayaan dalam mentadbir negeri dengan kestabilan dan visi yang jelas. Dasar SMJ bukan sahaja menumpukan kepada pertumbuhan ekonomi, tetapi juga memastikan kebajikan rakyat dan kelestarian alam sekitar sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.
Beliau berkata, dasar itu turut menyaksikan pertumbuhan pelaburan baharu dalam sektor tenaga hijau, pelancongan, pertanian serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat serta merancakkan ekonomi tempatan.
Selain itu, pelbagai inisiatif kebajikan turut dilaksanakan, termasuk pembinaan Rumah Mesra SMJ untuk golongan B40 dan pasangan muda, peningkatan kemudahan asas di luar bandar, serta penambahbaikan dalam sektor pendidikan dan kesihatan.
“Hubungan harmoni antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan juga membolehkan lebih banyak peruntukan disalurkan untuk pembangunan jangka panjang di Sabah,” katanya.
Sehubungan itu, Nizam yang juga Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menegaskan bahawa hanya dengan mengekalkan kestabilan politik dan kesinambungan dasar yang terbukti berkesan, Sabah akan terus melangkah maju.
“Rakyat kini berpeluang menentukan hala tuju masa depan negeri. Saya menyeru agar mandat yang kukuh diberikan kepada GRS supaya pembangunan yang telah dirancang dapat diteruskan demi kemajuan rakyat dan negeri Sabah yang kita cintai,” katanya.-UTUSAN










