PETALING JAYA: Seorang bekas penuntut Universiti Multimedia Malaysia (MMU) mencipta sejarah apabila memperkenalkan teh masala steril dalam tin halal pertama di dunia.
Gisnervern yang kini merupakan pengasas syarikat Leafhaus mengambil masa dua tahun menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) sebelum bersedia melancarkan produk berkenaan secara komersial.
Katanya, pihaknya kini dalam perbincangan dengan syarikat peberbangan AirAsia untuk menjalin kerjasama strategik memperkenalkan produk itu kepada penumpang antarabangsa di penerbangan terpilih serta rangkaian restoran Santan.
“Tan Sri Tony Fernandes membuktikan bahawa impian rakyat Malaysia boleh ‘terbang’. Saya pula mahu membuktikan bahawa rasa Malaysia juga mampu ‘mengembara’ jauh,” katanya pada pelancaran bertemakan An Alumni’s Dream yang diadakan di Pusat Pembangunan Usahawan (EDC) MMU di Cyberjaya baru-baru ini.
Gisnervern berkata, dia juga kini turut memperkenalkan susu kunyit dalam tin, iaitu minuman berasaskan petua kesihatan tradisional yang diinspirasikan daripada perkongsian pelakon dan usahawan terkenal, Datuk Rosyam Nor.
Dia turut sedang mengadakan perbincangan dengan rangkaian restoran berkonsepkan daun pisang, BananaBro, bagi memperluas pasaran minuman halal berasaskan warisan tersebut ke semua cawangannya.
“Datuk Rosyam pernah menyebut tentang manfaat susu kunyit, Bagi saya, ini bukan sekadar minuman, ini gerakan ke arah kesembuhan semula jadi dalam bentuk moden.
“BananaBro pula mencerminkan evolusi pengalaman makan rakyat Malaysia yang moden, muda dan berteraskan budaya. Ini platform terbaik untuk Leafhaus menyentuh hati setiap pelanggan di setiap meja, di setiap hidangan,” katanya.
Sementara itu, Presiden MMU, Prof. Mazliham Mohd. Su’ud berkata, pihak universiti amat berbangga dengan pencapaian Gisnervern yang berjaya menonjolkan semangat keusahawanan anak muda Malaysia di peringkat global.
“MMU amat berbangga melihat bekas pelajarnya meneroka sempadan baharu dan mencipta penanda aras global. Kami akan terus menyokong semangat keusahawanan yang bermula dari dalam kampus ini,” katanya. – UTUSAN










