Panel solar cetus kebakaran bumbung sekolah - Utusan Malaysia

Panel solar cetus kebakaran bumbung sekolah

SEBUAH bangunan yang mengandungi panel solar di atas bumbung di Britain. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Pemasangan panel solar dilaporkan telah mencetuskan kes kebakaran di beberapa bumbung sekolah, sekali gus menimbulkan kebimbangan berhubung rancangan Setiausaha Negara bagi Keselamatan Tenaga dan Sifar Bersih, Ed Miliband untuk memasang ratusan lagi sistem tenaga boleh baharu itu.

Susulan kebimbangan tersebut, pegawai-pegawai majlis perbandaran bertindak menutup operasi 80 sistem solar di bilik-bilik darjah di seluruh wilayah Suffolk selepas tiga insiden kebakaran berasingan berlaku dalam tempoh kurang setahun.

Selain itu, sebanyak 81 panel solar lain turut diputus bekalan kuasanya di Northumberland ekoran insiden kebakaran yang menimpa sebuah sekolah rendah pada musim panas tahun lalu.

Insiden serupa dilaporkan turut berlaku di beberapa buah sekolah di Shropshire dan Nottinghamshire pada 2025 serta di London pada tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, dalam tempoh yang sama, badan penasihat tenaga boleh baharu milik kerajaan pimpinan Miliband, Great British Energy telah membiayai pemasangan sumber tenaga hijau berkenaan di 250 buah sekolah dan kolej tambahan di seluruh England.

Pada Isnin, Timbalan Pemimpin parti Reform UK, Richard Tice menegaskan bahawa insiden itu merupakan satu lagi contoh mengapa tindakan tergesa-gesa kerajaan untuk mencapai sasaran pelepasan sifar bersih tidak sepatutnya mengenepikan pertimbangan akal budi yang waras.

“Jika Miliband berkeras untuk memperluas pemasangan panel suria di ratusan sekolah lagi, golongan ibu bapa berhak mendapat jaminan bahawa pemeriksaan keselamatan yang ketat telah dilaksanakan. Insiden seperti ini tidak boleh berulang lagi,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pemimpin Sekolah dan Kolej, Pepe Di’Iasio berkata, daripada isu asbestos sehingga kepada konkrit berudara, para pemimpin sekolah amat memahami bahaya yang boleh tercetus apabila bahan atau kaedah yang tidak sesuai digunakan dalam pembinaan bangunan.

“Sesiapa pun tidak sepatutnya berasa tidak selamat ketika berada di sekolah. Oleh itu, kami amat mengalu-alukan usaha lanjut bagi mengenal pasti punca kebakaran ini demi memastikan tiada murid mahupun kakitangan sekolah yang terdedah kepada risiko,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN