PETALING JAYA: Langkah modenisasi sistem pembayaran tol di lebuh raya negara kini memasuki fasa baharu apabila PLUS Malaysia Berhad (PLUS) secara rasmi memperluaskan inisiatif JustGO #LANE Freedom ke selatan.
Pelaksanaan terbaharu itu melibatkan laluan di Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH), Lebuhraya Utara-Selatan (NSE) dan Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).
Menurut PLUS, enam plaza tol yang terlibat ialah Plaza Tol Mambau dan Lukut di SPDH, Plaza Tol Kempas di NSE, serta Plaza Tol Tanjung Kupang, Lima Kedai dan Perling di LINKEDUA.
“PLUS menerajui pengenalan sistem tol pembayaran terbuka Pengenalan Nombor Pendaftaran Kenderaan Automatik (ANPR) pertama di negara ini.
“Melalui kemudahan ini, pengguna yang berdaftar boleh membuat pembayaran tol hanya menggunakan nombor pendaftaran kenderaan mereka dan menikmati kebebasan laluan menerusi konsep #LANE Freedom.
“Ciri kemudahan ini membolehkan kenderaan berdaftar masuk dan keluar melalui mana-mana lorong yang tersedia tanpa perlu terhad kepada lorong khas mengikut mod pembayaran tertentu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, sistem ini berfungsi apabila kamera ANPR membaca nombor plat kenderaan dan memproses bayaran tol terus daripada kad pembayaran yang dipautkan dalam aplikasi JustGO.
“Pengguna hanya perlu memuat turun aplikasi, mendaftarkan akaun serta kenderaan mereka dan mempautkan kad pembayaran pilihan bagi memulakan penggunaan.
“Sebelum ini, JustGO pertama kali diperkenalkan melalui projek rintis awam di sembilan plaza tol antara Hutan Kampung dan Sungai Dua pada Januari 2026.
“Ia kemudiannya diperluaskan ke Plaza Tol Jitra di NSE serta Plaza Tol Lunas dan Kubang Semang di Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) pada Jun lepas,” katanya.
Katanya, pengaktifan di Wilayah Selatan ini merupakan fasa seterusnya bagi peluasan JustGO di seluruh rangkaian lebuh raya PLUS.
“Langkah ini juga menjadi persediaan awal sebelum sistem berkenaan diaktifkan sepenuhnya di semua plaza tol kendalian PLUS bermula Ogos 2026,” katanya.-UTUSAN










