PETALING JAYA: Beberapa jalan serta lebuh raya utama di ibu negara akan ditutup secara berperingkat sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Oktober ini.
Pusat Info Trafik dan Kawalan Lampu Isyarat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (KLCCC DBKL) berkata, penutupan akan dilaksanakan secara berkala melibatkan beberapa jalan utama di sekitar Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan kawasan berdekatan.
Antaranya ialah Jalan Ampang, Jalan Sultan Ismail, Jalan P. Ramlee, Jalan Pinang, Jalan Binjai, Persiaran KLCC, Jalan Tun Razak, Jalan Parlimen, Jalan Bukit Bintang, Jalan Imbi, Jalan Damansara, Jalan Istana, Jalan Kuching dan Jalan Perak.
“Penutupan dilakukan secara berkala biasanya 30 hingga 45 minit untuk memberi laluan konvoi delegasi bertaraf tinggi, kawasan Segitiga Emas sekitar KLCC dijangka paling terjejas”, katanya dalam kenyataan.
Selain itu, laluan lapangan terbang dan kawasan hubungan utama turut disenaraikan termasuk laluan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Subang menuju pusat bandar, Lingkaran Putrajaya dan Lebuh KLIA serta Lebuh Raya Utama turut akan ditutup untuk akses dan konvoi delegasi.
Antara Lebuh raya yang tersenarai termasuk Lebuhraya Maju (MEX), Lebuhraya Utara–Selatan (PLUS) dari Sungai Buloh ke Jalan Duta, Lebuhraya ELITE (KLIA–Putrajaya), Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) dari Subang ke Jalan Duta, Lebuhraya Koridor Guthrie (GUTHRIE) serta Lebuhraya Kuala Lumpur–Seremban (KL–Seremban) dari Sungai Besi ke pusat bandar.
Maklumat mengenai penutupan jalan akan dikemas kini dari semasa ke semasa. Untuk sebarang maklumat lanjut, orang ramai digalakkan melayari portal rasmi ASEAN 2025. – UTUSAN










