JPN Melaka arah semua sekolah tingkat pemantauan keselamatan

JPN Melaka arah semua sekolah tingkat pemantauan keselamatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka mengarahkan semua sekolah di negeri ini meningkatkan pemantauan keselamatan susulan insiden seorang pelajar mengejar tiga rakannya menggunakan pisau pemotong kertas di sebuah sekolah menengah di Alor Gajah semalam.

JPN Melaka dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya memandang serius kejadian itu dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang perlakuan yang boleh mengancam keselamatan warga sekolah.

Menurut kenyataan itu, tindakan pantas pihak pengurusan sekolah berjaya mengawal keadaan sekali gus mengelakkan kejadian lebih serius daripada berlaku.

“Siasatan dalaman sedang berjalan termasuk untuk meneliti sebarang unsur provokasi dalam kejadian ini. Hukuman tegas akan dikenakan terhadap murid yang didapati bersalah,” katanya.

Sehubungan itu, JPN Melaka mengarahkan semua sekolah di negeri ini mempertingkat aspek keselamatan dengan melaksanakan pemeriksaan mengejut selain menggunakan alat pengesan logam bagi mengelakkan murid membawa barangan yang boleh mengancam keselamatan ke kawasan sekolah.

Dalam kejadian semalam, tindakan sekumpulan pelajar dipercayai membuli rakan sendiri dengan membaling ais membawa padah apabila mangsa bertindak balas dengan mengejar mereka menggunakan sebilah pisau pemotong kertas dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di daerah ini, semalam.

Kejadian kira-kira pukul 2.50 petang itu berlaku ketika satu program sedang berlangsung di dewan terbuka sekolah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ahmad Abu Bakar berkata, siasatan awal mendapati pelajar lelaki Tingkatan Satu berusia 13 tahun itu berang selepas dibaling ais berulang kali oleh tiga rakannya.

Menurut beliau, dua daripada pelajar terbabit masing-masing berusia 13 tahun, manakala seorang lagi berusia 14 tahun.

“Suspek kemudian mengeluarkan pisau pemotong kertas yang disimpan di dalam bekas pensilnya sebelum mengejar salah seorang pelajar sejauh kira-kira 50 meter hingga ke kawasan surau sekolah.

“Dua lagi pelajar yang berada bersama mangsa turut melarikan diri kerana bimbang dicederakan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, keadaan berjaya dikawal apabila seorang guru bertindak memujuk pelajar berkenaan sehingga dia menyerahkan pisau tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN