TEHERAN: Ketua Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran berikrar akan membalas sebarang serangan terhadap infrastruktur negaranya, selain memberi amaran bahawa Israel tidak akan terlepas daripada tindakan balas susulan siri pertukaran serangan dengan Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.
“Seperti yang telah kami umumkan sebelum ini, sebarang serangan terhadap infrastruktur akan dibalas dan rejim Zionis yang melakukan jenayah ini tidak akan terlepas daripada tindakan balas para pejuang kami,” kata Mohammad Bagher Zolghadr dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh televisyen kerajaan Iran.
Pada Khamis lalu, Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz berkata, negaranya bersedia untuk menyambung semula kempen ketenteraan terhadap Iran jika perlu dan berikrar akan berbuat demikian dengan kekuatan yang lebih besar.
Kenyataan terbaharu itu dibuat ketika pertempuran baharu tercetus antara Amerika dan Iran, sekali gus mencetuskan kebimbangan bahawa perang berskala penuh akan kembali meletus selepas gencatan senjata pada April serta perjanjian AS-Iran pada Jun untuk menamatkan permusuhan.
“Tentera berada dalam keadaan bersedia dan berjaga-jaga untuk menyambung semula pertempuran bagi mendapatkan semula penguasaan ruang udara dan melancarkan serangan sekali lagi di Iran, untuk menghapuskan ancaman, termasuk buat kali ketiga jika perlu,” kata Katz pada satu majlis ketenteraan. – AFP










