Bantuan kerajaan ikut keperluan, bukan kaum - Utusan Malaysia

Bantuan kerajaan ikut keperluan, bukan kaum

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bantuan kerajaan tidak berdasarkan kaum sebaliknya peruntukan dibuat berasaskan keperluan semasa dan kesejahteraan rakyat keseluruhan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan tidak pernah menilai bantuan dan kemudahan pembangunan mengikut kaum, sebaliknya berdasarkan keutamaan dan keperluan rakyat di sesuatu kawasan.

“Kalau peruntukan ke Pulau Pinang lebih sedikit, mulalah kita (kerajaan) diserang kononnya kerana bukan majoriti Melayu. Sedangkan kalau kita lihat, Kelantan, Terengganu dan negeri-negeri lain juga menerima peruntukan yang besar.

“Kita beri peruntukan berdasarkan apa yang perlu. Contohnya, LRT Pulau Pinang kita tambah peruntukan kerana keperluan mendesak, sama seperti lapangan terbang di Kota Bharu yang turut dibesarkan, tetapi ia tidak dijadikan naratif politik,” katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Deepavali Madani 2025 di KL Sentral, di sini, hari ini.

Anwar berkata, fokus utama kerajaan ketika ini ialah menyelesaikan masalah kemiskinan tegar tanpa mengira latar belakang kaum.

“Kerajaan telah membelanjakan berbilion ringgit bagi menyelesaikan masalah kemiskinan tegar. Di Kelantan, majoritinya Melayu; di Sentul dan Klang, majoritinya India. Adakah kita pilih mengikut kaum? Tidak. 

“Sesiapa sahaja yang berada dalam kategori miskin tegar, kita wajib bantu. Inilah raison d’être (niat satu pemerintah), alasan untuk kita mampu jadi kerajaan kita akan bantu,” katanya.

Menurut beliau, kerajaan turut menambah 1,500 tempat baharu kepada pelajar cemerlang, khususnya dalam kalangan pelajar India, bagi mengikuti pengajian di universiti awam tanpa menjejaskan kuota pelajar Melayu.

“Kita tidak ambil daripada kuota Melayu. Kita tambah tempat baharu supaya lebih ramai anak India berpeluang masuk universiti dalam bidang perakaunan, kejuruteraan, perubatan, digital dan bahasa.

“Namun, saya tidak anggap ini mencukupi. Reformasi bermaksud kita terus bergerak memperbaiki dan meningkatkan kemampuan. Tidak boleh berhenti pada tahap ini,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN