TELUK INTAN: Beberapa kawasan di bandar Teluk Intan dinaiki air pagi ini berikutan hujan dan fenomena air pasang besar.
Tinjauan mendapati antara kawasan yang dinaiki air termasuk Jalan Pasar, Jalan Pasir Bedamar dan Jalan Mahkamah di sekitar bandar ini.
Turut dinaiki air ialah beberapa buah kawasan penempatan penduduk antaranya Kampung Esso, Kampung Durian Sebatang dan Kampung Beca.
Air mula naik pada kira-kira pukul 5 pagi berikutan limpahan air Sungai Perak dan surut sepenuhnya pada pukul 10 pagi.
Sementara itu, seorang peniaga nasi lemak berdekatan Taman Rekreasi Tepian Udang Galah Mohamad Sawai Abdul Wahad ,62 berkata, fenomena air pasang besar sering berlaku di kawasan itu.
Katanya, fenomena yang berlaku pagi ini menyebabkan dia terpaksa memindahkan jualannya ke tempat yang tinggi.
“Saya lihat fenomena air pasang besar hari ini naik dengan cepat, dalam tempoh kira-kira 15 minit air sudah naik dan memenuhi jalan raya dan rumah yang terletak di tepi sungai,” katanya. – UTUSAN