Bersatu sedia terima Pas terajui PN

Bersatu sedia terima Pas terajui PN

ROSOL WAHID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sedia menerima Pas sebagai peneraju Perikatan Nasional (PN) dengan mengambil alih jawatan Pengerusi susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Rosol Wahid berkata, beliau tidak melihat perkara itu sebagai suatu masalah memandangkan Pas mempunyai jumlah Ahli Parlimen yang lebih ramai berbanding parti-parti lain dalam gabungan PN.

Katanya, berdasarkan jumlah komposisi Ahli Parlimen yang lebih besar, Pas layak untuk menerajui PN.

“Saya tiada masalah dengan perkara itu (Pas menerajui PN). Mereka mempunyai jumlah Ahli Parlimen yang ramai dan komposisi mereka lebih besar berbanding rakan lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ketika ditanya siapa pemimpin Pas yang layak dilantik sebagai Pengerusi PN, Rosol berkata, berdasarkan struktur Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sepatutnya dilantik menerajui PN.

Bagaimanapun, Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata, jika Pas mahu mencadangkan pemimpin lain sebagai Pengerusi PN, perkara itu terserah kepada sekutunya.

“Sepatutnya Presiden Pas yang dilantik sebagai Pengerusi PN, tetapi jika mereka mahu mencadangkan nama lain itu terserah kepada Pas. Saya tiada masalah. Okay sahaja dengan apa jua keputusan,” katanya.

Kemelut Pengerusi PN timbul susulan peletakan jawatan Muhyiddin berkuat kuasa pada 1 Januari lalu.

Walaupun sudah lebih sebulan kemelut berlaku namun sehingga hari ini PN masih gagal melantik Pengerusi baharu bahkan timbul isu lain apabila Muhyiddin mendakwa dalam pertemuannya dengan pimpinan Pas pada 16 Januari lalu, mereka bersetuju untuk memansuhkan jawatan Pengerusi PN.

Muhyiddin juga dalam surat sama menjemput semua Presiden parti komponen PN ke rumahnya untuk mengadakan mesyuarat ‘pre-counsil’ bagi membincangkan isu tersebut.

Bagaimanapun, Abdul Hadi, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menafikan persetujuan tersebut sehingga mesyuarat tergempar PN yang sepatutnya diadakan pada 19 Januari dibatalkan.

Pada masa sama, Abdul Hadi juga tidak menghadiri mesyuarat ‘pre-counsil’ yang diadakan Muhyiddin.

Usaha menyelesaikan kemelut di dalam PN diteruskan apabila Timbalan Setiausaha Agungnya, Takiyuddin memanggil Mesyuarat Tertinggi pada 19 Februari ini dan keempat-empat Presiden parti gabungan sudah mengesahkan kehadiran masing-masing. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN