Tugasnya sebagai pembantu pengantin mungkin tampak ringkas iaitu memastikan pengantin perempuan tenang dan segalanya berjalan lancar seperti dirancang.
Namun, bagi Raja Nur ‘Aqilah Raja Elias, peranan itu lebih bermakna kerana setiap tanggungjawab yang digalas adalah usaha memastikan pengorbanan dan penat lelah pasangan raja sehari berbaloi, lalu terukir sebagai momen terindah.
PEMBANTU PENGANTIN BUKAN MAK ANDAM
Peranannya sebagai pembantu pengantin atau bride assistant bermula pada Januari 2024 apabila mendapat inspirasi untuk menjadi pemudah cara kepada golongan pengantin, terutamanya pengantin perempuan dalam majlis perkahwinan mereka.
Raja Nur ‘Aqilah berkata, hasrat itu timbul selepas melihat rakannya melakukan tugasan itu di Brunei sebelum cuba melakukannya sendiri di sekitar Johor Bahru.

“Saya minta nasihat dan panduan dari rakan saya di Brunei mengenai skop kerja sebagai pembantu pengantin, seperti pekerjaan lain, saya juga perlu menghantar resume kepada rakan saya itu untuk memastikan saya benar-benar sesuai atau tidak melakukannya.
“Kawan saya itu berpusat di Brunei dan saya pula baru bermula di Johor, jadi banyak yang saya kena belajar dan hadam sebelum memulakan pekerjaan itu secara rasmi,” katanya kepada Seri.
Wanita berusia 33 tahun itu memberitahu, dia memang sudah lama meminati pekerjaan berkaitan perkahwinan selepas sering kali dijemput menjadi pengapit dalam majlis kahwin rakan-rakannya.
Katanya, pekerjaannya itu juga sering di salah anggap oleh banyak pihak yang menyamakannya dengan ‘mak andam’ atau jurusolek pengantin.
“Saya tidak solek atau bantu gayakan busana pengantin, tugas saya hanya memastikan pergerakan pengantin perempuan pada majlisnya berjalan lancar.
“Kebiasaannya, saya diberi tanggungjawab menjaga barangan peribadi pengantin seperti barang kemas, duit mas kahwin dan barangan berharga yang lain,” katanya.

Dia turut menerangkan secara terperinci kepada pengantin mengenai susunan dan pergerakan sepanjang majlis sehingga semuanya selesai.
“Malah, ada masanya saya turut mengiringi pengantin semasa sesi fotografi, sekadar memastikan keperluan seperti air minuman, kipas dan barangan penting sentiasa tersedia,” katanya.
AMBIL MASA UNTUK DIKENALI
Raja Nur ‘Aqilah berkongsi dia mengambil masa hampir enam bulan untuk membina nama dan memperkenalkan dirinya kepada golongan sasaran dalam usaha mengembangkan kerjaya sebagai pembantu pengantin.
Sepanjang tempoh tersebut, dia aktif menghasilkan kandungan dalam media sosial berkaitan panduan dan tip menjadi pembantu pengantin, sekali gus memberi pendedahan kepada orang ramai tentang peranan sebenar kerjaya itu.
Tugasan pertamanya bermula di Kluang dan sejak itu, dia terus berusaha meningkatkan mutu perkhidmatan yang ditawarkan dari semasa ke semasa.

“Perkhidmatan pembantu pengantin ini sebenarnya sudah menjadi skop pekerjaan biasa di negara Barat, namun masih baharu di Malaysia.
“Disebabkan itu, masih ada yang keliru dan menyangka kami sebagai floor manager, sedangkan tanggapan itu kurang tepat.
“Kami tidak menguruskan keseluruhan majlis, sebaliknya fokus membantu pengantin perempuan agar pergerakan dan keperluan mereka sepanjang majlis berjalan lancar,” ujarnya.
Raja Nur ‘Aqilah memberitahu, kerjayanya mula menunjukkan kestabilan menjelang hujung 2024, seiring dengan namanya yang semakin dikenali dan pertambahan tempahan daripada bakal pengantin.
MEMPUNYAI KERJA HAKIKI
Wanita kelahiran Johor itu berkata, kerjaya sebagai pembantu pengantin bukanlah pekerjaan utamanya, sebaliknya sekadar usaha sampingan yang dijalankan atas minat.
Hakikatnya, dia berkhidmat dalam bidang kejuruteraan, namun memilih untuk tidak terlalu berkongsi mengenai perkara tersebut bagi mengelakkan sebarang konflik kepentingan.

Namun, dia tidak menolak sekiranya kerjaya sebagai pembantu pengantin ini boleh diangkat ke peringkat profesional pada masa akan datang.
“Setiap kerjaya mempunyai potensi tersendiri jika dilakukan dengan cara dan niat yang betul.
“Begitu juga dengan pembantu pengantin yang wajar diangkat sebagai kerjaya profesional kerana ia menuntut kemahiran komunikasi yang baik, pemikiran kreatif serta keupayaan mencari penyelesaian bijak apabila berdepan sebarang cabaran,” katanya.
GAMBARAN SITUASI SEBENAR
Raja Nur ‘Aqilah berkata, sebelum memulakan tugasan, dia suka memberi gambaran sebenar kepada bakal pengantin mengenai apa situasi yang boleh berlaku dalam majlis perkahwinan.
Katanya, hal itu penting bagi memastikan bakal pengantin sentiasa bersedia jika berlaku insiden tidak diingini sepanjang majlis.
“Setiap pengantin pasti mahukan majlis perkahwinan yang lancar seperti yang mereka rancang selama beberapa bulan, bahkan tahun.
“Jadi, saya akan terangkan kepada mereka sebarang kemungkinan yang boleh berlaku supaya mereka bersedia dan setiap situasi dapat ditangani dengan tenang,” ujarnya.
Berkongsi lanjut, dia pernah berdepan pelbagai insiden tidak dijangka seperti duit mas kahwin yang tertinggal, barangan hantaran rosak, malah ada juga kes melibatkan kecurian oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Justeru, dia akan memastikan segala keperluan dan barangan penting disemak lengkap sebelum majlis akad nikah berlangsung.

“Waktu kerja saya sebagai pembantu pengantin bergantung kepada masa majlis nikah. Jika berlangsung pada sebelah pagi, saya akan bersedia seawal pagi, dan begitu juga jika majlis diadakan pada waktu malam.
“Persiapan awal ini sangat penting bagi memastikan kelancaran majlis, selain membolehkan kami menyediakan pelan sokongan sekiranya berlaku sebarang perkara di luar jangkaan,” katanya.
CABARAN
Pemegang ijazah sarjana muda dalam bidang kejuruteraan itu turut mengakui dia tidak terlepas daripada pandangan serong segelintir masyarakat yang melabelnya sebagai ‘penyibuk’ atau ‘merimaskan’.
Namun, tanggapan tersebut sedikit pun tidak mematahkan semangatnya kerana dia sedar tanggungjawab yang dipikul adalah demi memastikan setiap pengantin perempuan yang menggunakan khidmatnya berasa selesa dan tenang sepanjang majlis.
“Setiap pekerjaan pasti ada cabarannya, begitu juga dengan pembantu pengantin. Ada yang melabel saya sebagai penyibuk atau merimaskan kerana melihat saya kerap memberi arahan kepada pengantin.
“Hakikatnya, mereka yang berkata begitu tidak berada di lokasi majlis dan tidak mengetahui situasi sebenar, apa yang kami lalui di sebalik tabir serta bagaimana keadaan kehadiran tetamu ketika itu.
“Namun saya tidak kisah, asalkan kerja berjalan lancar, suasana tenang, pengantin pun tenang dan semuanya berlangsung seperti yang dirancang,” katanya.
Raja Nur ‘Aqilah turut berkongsi dia pernah dilabel sebagai garang, mungkin disebabkan raut wajahnya. Namun selepas berkomunikasi dan berurusan dengan bakal pengantin, kepercayaan diberikan kepadanya untuk menjadi pemudah cara sepanjang majlis.

Jika dilihat dalam kebanyakan video yang dimuat naik Raja Nur ‘Aqilah di media sosial, dia sering mengenakan sarung tangan hitam setiap kali menguruskan pengantin.
Ditanya mengenai perkara itu, dia menjelaskan sarung tangan itu membantunya menutup aurat selain mengelak daripada bersentuhan dengan pihak yang tidak berkaitan.
Menurutnya, kaedah itu lebih praktikal dan selesa, terutamanya dalam majlis yang ramai tetamu di mana sentuhan secara tidak sengaja sering berlaku.
KEMBANGKAN KERJAYA
Anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata, perkhidmatannya sebagai pembantu pengantin kini merangkumi seluruh Malaysia, malah turut sampai Brunei dan Singapura.
Katanya, kadar caj perkhidmatan berbeza mengikut lokasi majlis perkahwinan. Untuk tahun ini, slot-slotnya sudah hampir penuh, dengan kebanyakan tempahan di Johor.
“Saya boleh ke Sabah, Sarawak, Brunei dan Singapura sekiranya ada tempahan selain terbuka membantu pengantin bukan Melayu,” ujarnya.
Akhir bicara, wanita itu berkongsi hasratnya menubuhkan sebuah pasukan pembantu pengantin yang bukan sahaja memberi tumpuan kepada pengantin perempuan, malah turut membantu pengantin lelaki.










