JOHOR BAHRU: Penduduk Kota Tinggi hidup dalam kebimbangan susulan penularan wabak Tuberkulosis (Tibi) yang dilaporkan berlaku sejak 25 Januari lalu.
Penduduk khususnya di Felda Sungai Mas kini mengehadkan pergerakan harian dan mengelak keluar rumah kerana bimbang dijangkiti wabak berjangkit yang merebak melalui udara.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati penduduk mengambil langkah berjaga-jaga termasuk memakai pelitup muka, selain paparan iklan digital di laluan utama dengan maklumat berkaitan Tibi serta langkah pencegahan kesihatan.
Seorang penduduk Felda Sungai Mas, Muhammad Fahmi Usri, 31, berkata, kebimbangan dirasai hampir sepanjang masa memandangkan ahli keluarganya terdiri daripada kanak-kanak dan warga emas.
“Berita ini juga menyebabkan penduduk terpaksa mengehadkan pergerakan harian agar tidak memasuki kawasan disahkan terdedah wabak itu.
“Jadi buat masa ini saya, ahli keluarga serta kenalan dekat kami ambil keputusan untuk kurangkan keluar rumah, kecuali kalau ada keperluan berbuat demikian,” katanya ketika ditemui semalam.
Sejak minggu lalu, penularan Tibi di daerah Kota Tinggi sejak bulan lalu mencetuskan kebimbangan orang ramai.
Wabak itu dikesan di negeri ini pada 25 Januari lalu menerusi aktiviti pengesanan kes aktif kepada 804 kontak rapat apabila seramai 33 individu disahkan menghidap virus itu.
Lebih membimbangkan, enam daripada mereka terdiri dalam kalangan murid sekolah iaitu empat murid lelaki dan selebihnya wanita.
Bagi seorang lagi penduduk, Rahayu Musran, 45, berkata, lima anaknya yang berusia 11 hingga 21 tahun mengurangkan pergerakan di luar rumah bagi mengelakkan risiko jangkitan.
“Walaupun situasi terkawal, tetapi risau juga sekiranya kalau ada anak-anak dan cucu yang berjangkit. Saya juga selalu pastikan rumah sentiasa bersih dan kerap minum air masak,” katanya.
Sementara itu, seorang penduduk di Felda Air Tawar 3, yang mahu dikenali sebagai Siti, 39, meluahkan kebimbangan tentang keselamatan anak-anaknya yang masih bersekolah.
“Saya difahamkan tiada sebarang penutupan sekolah dibuat walaupun ada antara pesakit disahkan sebagai murid sekolah. Sebagai ibu pastilah saya rasa bimbang tentang perkara ini.
“Tetapi saya akur keputusan dibuat kerajaan dan berharap segala langkah-langkah sewajarnya telah diambil bagi memastikan tiada penularan baharu dan wabak ini dapat dikawal sepenuhnya tidak lama lagi,” katanya.
Bagi penduduk Felda Papan Timur, Normah Muhamad, 51, berkata, penularan wabak itu menyebabkan sejak minggu lalu tular khabar angin kononnya terdapat kematian dalam kalangan penduduk.
“Dakwaan yang tular di media sosial yang mengatakan terdapat beberapa kematian adalah tidak benar. Mereka yang mempunyai simptom berkaitan sahaja perlu ke klinik kesihatan untuk membuat saringan.
“Ini bukan macam zaman Covid-19, namun penduduk turut dinasihatkan untuk mengambil langkah berjaga-jaga. Pihak sekolah turut menasihatkan pelajar untuk menjaga kebersihan dan menjaga jarak,” katanya.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, penyakit Tibi atau dikenali sebagai batuk kering merupakan penyakit berjangkit yang berpunca daripada mycobacterium tuberculosis yang merebak melalui udara kepada kontak rapat.
Katanya, gejala penyakit Tibi termasuklah batuk berpanjangan, hilang berat badan yang ketara, hilang selera makan, berpeluh pada waktu malam dan batuk berdarah.
“Rawatan Tibi memerlukan tempoh masa yang panjang dan konsisten, malah bagi kes tibi rintang pelbagai ubat (MDR-TB), pesakit mungkin perlu menjalani rawatan sehingga 24 bulan untuk pulih sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata, Tibi dikenali mudah berjangkit dalam kalangan warga asing dan individu tinggal dalam persekitaran sesak.
“Tibi mudah berjangkit, namun tidak seteruk Covid-19 sebelum ini. Penularan juga boleh berlaku daripada ahli keluarga yang mungkin telah dijangkiti lebih awal,” katanya.-UTUSAN










