KUALA NERUS: Selepas hampir dua hari terputus hubungan, keluarga Prof. Dr. Mohd. Afandi Saleh dapat menarik nafas lega selepas menerima panggilan telefon daripada beliau sejurus selepas tiba di Lapangan Terbang Istanbul, Turkiye, malam tadi.
Mohd. Afandi yang juga pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) adalah salah seorang daripada sembilan aktivis kemanusiaan Malaysia yang ditahan tentera Israel selepas kapal Freedom Flotilla Coalition – Thousand Madleens to Gaza (FFC-TMTG) dinaiki mereka dipintas ketika dalam pelayaran menghampiri Gaza, Rabu lalu.
Anaknya, Adam, 20, berkata, bapanya sempat menghubungi ibunya menggunakan telefon individu lain bagi memaklumkan bahawa semua delegasi Malaysia berada dalam keadaan selamat dan pulang ke tanah air esok..
“Baba (panggilan keluarga untuk Mohd. Afandi) ada telefon Umi (ibu) menggunakan telefon orang lain, katanya semua wakil Malaysia selamat dan sedang berehat di Istanbul,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Adam yang juga pelajar tahun satu Ijazah Sarjana Muda Undang-undang di UniSZA berkata, bapanya turut berkongsi pengalaman getir sepanjang penahanan mereka di bawah kawalan tentera Israel.
“Baba sempat beritahu Umi yang Israel kali ini lebih kejam berbanding 2018. Walaupun ini kali kedua dia sendiri ditahan, tetapi pengalaman itu lebih menakutkan,” katanya. – UTUSAN










