PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji (TH) membuka pejabat cawangan baharu Kuala Terengganu di Jalan Sultan Zainal Abidin bagi memperkukuh perkhidmatan kepada pendeposit.
Cawangan baharu itu dipilih kerana terletak di lokasi lebih strategik, mudah diakses dan berada di kawasan pusat perniagaan yang menjadi tumpuan ramai.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata, pejabat baharu berkeluasan hampir 6,000 kaki persegi itu menawarkan ruang lebih luas, selesa dan kondusif.
Katanya, kemudahan itu turut dilengkapi tujuh kaunter perkhidmatan serta ruang parkir khas yang lebih banyak bagi memudahkan urusan pengunjung.
“Pejabat baharu ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan TH untuk memperkukuh ekosistem perkhidmatan kepada pendeposit.
“Kami percaya pelaburan terbaik bukan hanya pada bangunan atau teknologi sahaja, tetapi pada usaha membina keyakinan masyarakat melalui penyampaian perkhidmatan berkualiti, mudah diakses, mesra dan sentiasa mengutamakan pelanggan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mustakim berkata, TH juga terus memperkukuh transformasi digital termasuk melalui aplikasi THiJARI yang menyediakan pelbagai perkhidmatan secara lebih mudah, pantas dan selamat.
Katanya, TH turut membudayakan persediaan kewangan lebih awal dan terancang melalui simpanan potongan gaji, Direct Debit, program Cilik-Cilik Dah Celik serta kempen kesedaran menuju istito’ah.
Selain itu, TH memperluas capaian perkhidmatan melalui kaunter bergerak TH Gerak di lokasi tumpuan ramai bagi menyantuni lebih ramai pendeposit secara mobil.
“Kesemua inisiatif ini mencerminkan aspirasi TH untuk menjadi rakan strategik masyarakat dalam membina kesejahteraan kewangan umat Islam di Malaysia, di samping terus kekal sebagai institusi pengurusan haji yang unggul,” katanya. – UTUSAN










