Isu pajakan negeri: Pulau Pinang serah kepada kerajaan Persekutuan

Isu pajakan negeri: Pulau Pinang serah kepada kerajaan Persekutuan

CHOW Kon Yeow (tiga dari kanan) ketika mengadakan lawatan kerja di Northern Heart Hospital di George Town, Pulau Pinang, hari ini.-UTUSAN/SAFINA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Kerajaan negeri Pulau Pinang menyerahkan sepenuhnya kepada Kerajaan Persekutuan bagi menangani isu cadangan mengkaji semula kadar bayaran pajakan negeri susulan titah Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, baru-baru ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, perkara itu berada di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan dan ia tidak pernah dibincangkan di peringkat kerajaan negeri ketika ini.

Menurut beliau, kerajaan negeri juga tidak terlibat dalam sebarang urusan berkaitan bayaran atau sumbangan yang diberikan kepada Kedah berhubung isu tersebut.

“Tidak pernah ada berbincang. Sebab ini (pajakan) dibayar ataupun disumbang oleh kerajaan Persekutuan, tidak melibatkan negeri,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja di Northern Heart Hospital di sini hari ini.

Mengulas sama ada kerajaan negeri menyokong cadangan Sultan Kedah supaya kadar bayaran pajakan disemak semula, Kon Yeow berkata, perkara itu juga sewajarnya dijawab oleh kerajaan Persekutuan.

Pada masa yang sama, beliau turut mengesahkan bahawa kerajaan Pulau Pinang tidak pernah menerima sebarang surat atau tuntutan daripada peguam yang mewakili Kedah berhubung isu berkenaan.

Sultan Sallehuddin sebelum ini bertitah supaya Kerajaan Persekutuan mengkaji semula kadar bayaran pajakan Pulau Pinang agar selaras dengan nilai semasa.

Baginda menegaskan, kadar bayaran sedia ada adalah terlalu rendah berbanding nilai sebenar dan penyemakan semula perlu dilakukan bagi menjamin keadilan serta memelihara hak negeri Kedah.

Ketika ini, Kedah menerima bayaran pajakan sebanyak RM10,000 setahun selain sumbangan khas RM10 juta setahun daripada kerajaan Persekutuan yang mula disalurkan pada 2018.

Pada 2021, kerajaan negeri Kedah turut memohon supaya bayaran pajakan atau royalti itu dinaikkan kepada RM100 juta setahun dengan alasan kadar asal tidak pernah disemak sejak termeterainya perjanjian pada tahun 1786. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN