KUALA LUMPUR: Tindakan kerajaan Kedah berhubung langkah diambil berkaitan kedudukan Negeri Pulau Pinang dengan Kedah serta hubungan antara kedua-dua negeri perlu dihormati semua pihak.
Ahli-ahli Parlimen dari Kedah dalam kenyataan bersama hari ini memaklumkan memberi sokongan penuh terhadap tindakan yang diambil oleh kerajaan negeri di bawah pimpinan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Menurut mereka, tindakan itu berpaksikan lunas perundangan dan tidak sama sekali bertujuan mencabar kedaulatan Pulau Pinang.
Kenyataan bersama yang dibacakan oleh Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Ahmad Saad Yahaya itu berkata, langkah kerajaan negeri membawa isu pajakan Pulau Pinang ke mahkamah dibuat selepas fasa kajian dan penelitian rapi diselesaikan.
“Langkah ini perlu dihormati semua pihak kerana tindakan kerajaan negeri Kedah berpandukan perundangan sedia ada. Hakikatnya, yang berlaku ialah sebaliknya, kedaulatan Kedah telah dicabar melalui sikap prejudis pihak tertentu,” katanya pada sidang akhbar di Bangunan Parlimen hari ini.
Beliau memberi respon terhadap Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer yang menegaskan Perkara 4(1) dan 4(2) Perlembagaan menyatakan Pulau Pinang adalah salah sebuah negeri dalam Persekutuan Malaysia, justeru kedaulatannya tidak boleh dipertikaikan, semasa sesi perbahasan, semalam.
Isu berhubung status Pulau Pinang turut mendapat perhatian Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Badlishah pada 2023, apabila baginda bertitah status pajakan Pulau Pinang ‘perlu diperjelaskan secara terang berlandaskan fakta dan tanpa prejudis’.
Kenyataan itu turut mempersoalkan sama ada pemberian khas di bawah perjanjian bertarikh 6 Mei 1869 masih relevan dan setara selepas lebih 150 tahun berlalu, serta menegaskan penilaian semula pajakan tersebut merupakan hak sah Kedah berdasarkan Perkara 167(7) Perlembagaan Persekutuan.
Pada masa sama, Ahmad turut menyentuh isu tuntutan caj penggunaan sumber air mentah dari Sungai Ulu Muda yang menurut mereka telah ditolak mentah-mentah, sedangkan penggunaan air domestik di Kedah sendiri dikenakan caj.
“Maka, siapakah sebenarnya yang mencabar kedaulatan siapa? Tindakan segelintir pihak menolak usaha ini menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab dan seolah-olah mengetepikan kepentingan sejarah serta hak negeri-negeri dalam Persekutuan,” katanya.
Beliau menegaskan tindakan kerajaan negeri adalah berasaskan semangat Persekutuan dan menghormati titah Sultan Kedah yang mahu perkara ini diselesaikan secara tuntas dan berlandaskan undang-undang.
“Oleh yang demikian, kami berpendirian langkah kerajaan negeri Kedah ini wajar disokong sepenuhnya oleh semua pihak.
“Mahkamah merupakan institusi paling tepat untuk merunding dan menentu ukur pertikaian ini bagi memastikan hubungan antara Pulau Pinang dan Kedah dapat diperjelaskan secara sah dan adil,” katanya. – UTUSAN










