Malaysia, Thailand teruskan Zon Ekonomi Khas Sempadan, permudah urusan imigresen, kastam

Malaysia, Thailand teruskan Zon Ekonomi Khas Sempadan, permudah urusan imigresen, kastam

ANWAR Ibrahim dan Anutin Charnvirakul ketika sidang akhbar bersama sempena lawatan rasmi Perdana Menteri Thailand ke Malaysia di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya. - UTUSAN/MAISARAH SHEIKH RAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia dan Thailand bersetuju meneruskan pembangunan Zon Ekonomi Khas Sempadan (Special Border Economic Zone) selain memudah cara urusan imigresen dan kastam antara kedua-dua negara bagi memperkukuh hubungan ekonomi serta perdagangan dua hala.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, persetujuan itu dicapai dalam pertemuan dua hala bersama Anutin Charnvirakul sempena lawatan rasmi dua hari Perdana Menteri Thailand itu ke negara ini.

Menurut Anwar, kedua-dua pihak turut menyelesaikan isu-isu tertunggak dalam usaha memperkukuhkan ekonomi, perdagangan dan pelaburan, namun masih banyak usaha perlu dilaksanakan bagi memperkukuh kerjasama dalam semua bidang.

Beliau berkata, sempadan antara dua negara terus diperkukuh dengan pembangunan laluan baharu antara Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Malaysia dengan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao, Thailand yang akan dirasmikan kedua-dua Perdana Menteri, esok.

“Lawatan ini juga unik kerana bukan sekadar tertumpu di ibu negara, sebaliknya turut melibatkan kawasan sempadan. Ini mencerminkan komitmen Anutin untuk memperkukuh hubungan antara kedua-dua negara,” katanya dalam sidang akhbar bersama di Kompleks Perdana Putra, di sini hari ini.

Anwar berkata, kedua-dua negara turut membincangkan cadangan mempercepat pembinaan jambatan kedua Rantau Panjang-Sungai Golok, yang disifatkan penting kepada pembangunan selatan Thailand dan Kelantan.

Selain itu, katanya, Malaysia dan Thailand turut membincangkan cadangan menghidupkan semula projek landasan kereta api Rantau Panjang-Sungai Golok.

Menyentuh perdagangan dua hala, Anwar berkata, sasaran perdagangan sebanyak AS$30 bilion menjelang 2027 memerlukan komitmen berterusan daripada kedua-dua pihak.

“Kita perlu bekerja keras dan saya fikir kedua-dua Menteri Luar serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) perlu memberi tumpuan kepada perkara ini kerana persahabatan yang kukuh dan kerjasama dalam semua bidang, termasuk pelancongan, mesti bermula dengan asas ekonomi dan perdagangan yang kukuh,” katanya.

Sementara itu, Anutin berkata, beliau dan Anwar akan sekali lagi bertemu esok bagi merasmikan pembukaan jajaran jalan baharu yang menghubungkan pusat pemeriksaan Sadao dan Bukit Kayu Hitam, iaitu pintu masuk darat terbesar serta paling strategik antara kedua-dua negara.

Menurutnya, kedua-dua pemimpin turut membincangkan usaha mempertingkatkan kesalinghubungan pelbagai mod pengangkutan (multimodal) di koridor barat dan timur Semenanjung sebagai sebahagian daripada visi memperkukuh integrasi serantau serta meningkatkan daya tahan ekonomi untuk jangka panjang.

Pada masa sama, kerajaan beliau meletakkan usaha menamatkan keganasan dan menangani cabaran di wilayah sempadan selatan negara itu sebagai keutamaan.

Katanya, Malaysia dan Thailand berkongsi keyakinan bahawa keamanan dan pembangunan perlu bergerak seiring kerana keamanan mewujudkan keadaan yang kondusif untuk pembangunan, manakala pembangunan pula membantu membina keamanan yang berkekalan.

“Kedua-dua negara akan terus memperkukuh kerjasama yang rapat dan berterusan bagi memajukan aspek keselamatan serta pembangunan di kawasan sempadan.

“Kami juga bersetuju meningkatkan penyelarasan bagi memperkukuh kesalinghubungan antara selatan Thailand dan utara Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN