KUALA TERENGGANU: Memperkukuh sistem sokongan psikososial, kesihatan mental dan memperluas akses kepada aktiviti rekreasi serta kebudayaan yang menyumbang kepada kesihatan emosi, adalah antara cabaran utama Terengganu untuk mengekalkan status negeri paling bahagia di Malaysia.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, mengekalkan status sebagai negeri paling bahagia memerlukan usaha berterusan dan pendekatan menyeluruh.
Beliau berkata, aspek kesejahteraan mental dan emosi yang mencatat skor lebih rendah dalam Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia (MHI) 2024 dengan skor 7.39 perlu diberi perhatian serius.
“Ia memberi isyarat kepada kerajaan negeri bahawa masih ada ruang penambahbaikan daripada segi kesejahteraan mental dan sokongan psikososial. Ia kini turut menjadi fokus dalam pelan pembangunan negeri termasuk melalui aktiviti kebudayaan, rekreasi dan sokongan komuniti,” katanya kepada Utusan Malaysia.
MHI 2024 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan (DOSM) menyaksikan Terengganu muncul sebagai negeri paling bahagia di Malaysia dengan skor 8.64.
Pencapaian itu meletakkan Terengganu dalam kategori sangat bahagia, sekali gus mencerminkan tahap kesejahteraan sosial yang tinggi di negeri ini.
Menurut Razali, cabaran-cabaran lain adalah memastikan keseimbangan antara pembangunan fizikal dan kesejahteraan sosial rakyat tidak terjejas oleh arus pemodenan serta pertumbuhan ekonomi.
Katanya, memastikan jurang kebahagiaan antara bandar dan luar bandar tidak melebar terutama dalam akses kepada kemudahan pendidikan, komunikasi dan perkhidmatan kesihatan juga perlu diberi perhatian.
“Cabaran dalam konteks pelancongan yang mana pembangunan sektor ini perlu dilaksana secara mampan supaya tidak mengganggu keharmonian komuniti setempat dan alam sekitar,” katanya. – UTUSAN










