BAGAN DATUK: Selepas hampir 17 jam dilaporkan hilang akibat dipercayai terjatuh dari Jambatan Sultan Nazrin Shah di sini, mayat seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun akhirnya ditemukan hari ini.
Mayat Wong Long Hee merupakan mangsa terakhir yang ditemukan selepas mayat Mohd. Nor Firdaus Mohd. Mokhtar, 42, dijumpai terapung di sungai pada pukul 11.59 pagi tadi.
Semalam, mayat ibu kanak-kanak itu, Lim Li Yin, 38, yang dipercayai turut terjatuh dari jambatan berkenaan, ditemukan pasukan penyelamat pada pukul 7.15 petang.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, mayat Long Hee ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira pukul 2 petang pada jarak sekitar 10 kilometer dari Jambatan Sultan Nazrin Shah.
Katanya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis sebelum dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk tindakan lanjut.
“Dengan penemuan mangsa terakhir itu, operasi SAR yang dijalankan membabitkan pelbagai agensi ditamatkan sepenuhnya hari ini,” katanya di sini hari ini.
Semalam, media melaporkan dua kejadian berasingan membabitkan insiden dipercayai terjatuh dari Jambatan Sultan Nazrin Shah yang melibatkan seorang lelaki serta dua beranak.
Kehilangan Mohd. Nor Firdaus disedari selepas sebuah motosikal Modenas Z15 GT yang dipercayai miliknya ditemukan ditinggalkan di bahu jalan di atas jambatan berkenaan.
Penemuan itu menggerakkan operasi SAR selepas pihak bomba menerima maklumat mengenai kejadian pada pukul 11.36 pagi.
Pada hari yang sama, pihak bomba turut menerima maklumat pada pukul 7.15 petang mengenai kejadian membabitkan dua beranak itu sebelum operasi SAR digerakkan bagi mengesan kedua-dua mangsa. – UTUSAN










