Nor Azman mahu jumpa seramai mungkin pengundi di Sikamat

Nor Azman mahu jumpa seramai mungkin pengundi di Sikamat

NOR Azman Mohamad (tengah) bersama penyokong PH sebelum ke Wisma Majlis Bandaraya Seremban bagi proses penamaan calon bagi DUN Sikamat. - UTUSAN/NAZARUDIN SHAHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Calon Pakatan Harapan (PH) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat, Nor Azman Mohamad mahu bertemu seramai mungkin pengundi di kawasan tersebut bagi memastikan parti itu kekal menang di kerusi berkenaan.

Menurutnya, penyandang kerusi berkenaan iaitu Datuk Seri Aminuddin Harun telah meninggalkan legasi cemerlang oleh sudah tentu ia merupakan tugas berat mengekalkannya

“Sebagai muka baharu di DUN ini saya akan menggunakan pendekatan bertemu dengan seramai mungkin daripada 34,103 pengundi berdaftar di kawasan ini bagi menjalin hubungan sebagai bakal wakil rakyat mereka kelak.

“Saya cuba bertemu orang ramai secara berdepan samada di rumah atau tempat orang ramai selain mengambil bahagian dalam program yang diatur jentera parti,” ujarnya.

Beliau ditemui sebelum ke pusat penamaan calon bagi lima Dewan Undangan Negeri (DUN) yang terletak dalam kawasan Parlimen Seremban di Wisma Majlis Bandaraya Seremban di sini hari ini.

Mengenai jumlah sokongan yang diharapkannya dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini, Nor Azman yang mempunyai Ijazah Sarjana Muda Syariah Islamiah dari Universiti Al-Azhar, Mesir memberitahu, beliau berharap dapat meraih sokongan antara 12,000 hingga 13,000 pengundi jika peratus keluar mengundi kelak mencapai 70 peratus.

Pada PRN 2023, Aminuddin memenangi kerusi DUN Sikamat selepas memperoleh 12,730 undi menewaskan tiga calon lain dengan majoriti 2,662 undi.

Daripada 32,343 pengundi berdaftar di DUN tersebut dalam PRN berkenaan, seramai 23,444 pengundi atau 72.5 peratus telah keluar mengundi.

Pada PRN kali ini, Nor Azman akan berhadapan dengan dua pesaing iaitu Datuk Tun Faisal Ismail Aziz daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Datuk Razali Abu Samah dari Perikatan Nasional (PN). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN