Polis selamatkan mangsa culik, 6 ditahan tuntut wang pampasan RM7 juta

Polis selamatkan mangsa culik, 6 ditahan tuntut wang pampasan RM7 juta

POLIS DIRAJA MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis menyelamatkan seorang lelaki mangsa culik dan menahan enam suspek termasuk seorang wanita selepas meminta wang tebusan berjumlah RM7 juta daripada keluarga mangsa.

Mangsa diselamatkan dalam tempoh 48 jam melalui satu operasi khas, selepas isterinya, wanita tempatan berusia 46 tahun,  membuat laporan kejadian tersebut.

Operasi membabitkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dengan kerjasama Cawangan Khas Bukit Aman dan JSJ Kontinjen Selangor.

Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, laporan diterima kira-kira pukul 1.30 pagi semalam daripada isteri mangsa maklumkan suaminya telah diculik dan suspek dipercayai menuntut wang tebusan sebanyak RM7 juta. 

“Hasil tindakan pantas pasukan polis, mangsa berjaya diselamatkan kira-kira pukul 1 pagi dalam satu serbuan di sebuah unit kediaman di kawasan i-City, Shah Alam, Selangor.

“Dalam operasi sama, polis menahan enam individu warga tempatan iaitu lima lelaki dan seorang wanita berusia antara 30 hingga 46 tahun bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kumar berkata, pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan dan rampasan beberapa jenis dadah, telefon bimbit pelbagai jenama serta beberapa kenderaan dipercayai digunakan dalam jenayah tersebut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 iaitu kesalahan menculik untuk wang tebusan.  Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta sebatan,” katanya.

Tambahnya, siasatan turut dijalankan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 terhadap semua suspek yang ditahan reman selama 10 hari di bawah Seksyen 12 Akta Penculikan 1961.

“Siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti penglibatan individu lain, motif kejadian serta rangkaian jenayah yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.

“Orang ramai diminta terus menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kepada pihak berkuasa. Polis memberi jaminan siasatan akan dijalankan secara menyeluruh serta telus tanpa kompromi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN