ASEAN perlu gerakan OneASEAN SME, perkasa usahawan serantau

ASEAN perlu gerakan OneASEAN SME, perkasa usahawan serantau

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Negara-negara ASEAN disaran mewujudkan gerakan OneASEAN SME sebagai platform serantau memperkasa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di rantau ini agar mampu bersaing di peringkat global.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, gerakan itu penting untuk memperkukuh ekosistem keusahawanan ASEAN menerusi perkongsian teknologi, latihan, jaringan pemasaran serta pembiayaan yang lebih inklusif antara negara anggota.

Katanya, meskipun ASEAN merupakan rantau yang pesat membangun dengan gabungan lebih 600 juta penduduk, keupayaan PKS masih tidak seimbang antara negara anggota.

“Kita tidak boleh bergerak secara terasing. ASEAN perlu melihat pembangunan PKS sebagai agenda serantau, bukan hanya nasional.

“Penyelarasan dasar dan kerjasama ekonomi perlu dipertingkat. Saya cadangkan supaya diwujudkan satu inisiatif OneASEAN SME iaitu gerakan bersama yang menghimpunkan usahawan kecil dan sederhana bagi membina rantaian bekalan, akses pasaran serta teknologi baharu secara kolektif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian SME Venture@ASEAN 2025 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, Malaysia komited menjadi peneraju dalam membangunkan rangka kerja gerakan berkenaan melalui kerjasama strategik antara kerajaan, agensi pembangunan dan sektor swasta.

Katanya, langkah itu seiring dengan matlamat ASEAN Strategic Action Plan for SME Development (SAP SMED) 2025 yang menekankan keperluan memperkukuh daya tahan dan inovasi PKS di rantau ini.

“Kita mahu melihat lebih banyak sinergi, contohnya usahawan mikro dari Laos boleh bekerjasama dengan pengeluar bahan mentah dari Malaysia atau syarikat teknologi kecil dari Singapura membantu membangunkan aplikasi bagi PKS di Filipina.

“Malaysia juga akan memperkenalkan beberapa insentif dan dana khas bagi memperkukuh jaringan PKS tempatan ke pasaran serantau termasuk memperluas akses pembiayaan mikro, mempercepat pendigitalan serta memperkukuh kapasiti eksport,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, PKS menyumbang lebih 97 peratus daripada jumlah keseluruhan entiti perniagaan di ASEAN dan menjadi tunjang utama kepada pertumbuhan ekonomi, pekerjaan serta inovasi.

“Jika kita berjaya menghubungkan semua pemain PKS di bawah satu gerakan bersama, ASEAN bukan sahaja akan menjadi hab pelaburan, malah kuasa ekonomi rakyat yang berdaya tahan dan mampan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN