MARANG: Musim durian yang sedang memuncak memberi rezeki berganda kepada pemilik kebun apabila pakej makan durian segar di kebun mendapat sambutan luar biasa daripada pengunjung.
Bagi pemilik kebun, Mizi Agro Farm, Mohd. Tarmizi Mamat, 39, dari Kampung Lubuk Batu di sini, kebun durian seluas 3.2 hektar miliknya yang mempunyai kira-kira 100 pokok kini sedang mengeluarkan hasil yang lebat.
Katanya, pakej makan durian di kebun mula diperkenal sejak 2019 namun sambutan pada musim kali ini jauh lebih menggalakkan dengan kehadiran pelanggan hampir setiap hari.
“Setiap hari ada pelanggan yang membuat tempahan untuk menikmati durian di kebun. Mereka dapat menikmati durian yang baru gugur, sekali gus merasai pengalaman makan buah dalam suasana dusun yang nyaman.
“Kami menawarkan durian secara selonggok pada harga RM50 yang mengandungi kira-kira tujuh hingga lapan biji durian, bergantung kepada saiz buah,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini.
Mohd. Tarmizi berkata, pengunjung tidak dikenakan sebarang bayaran masuk dan bebas menikmati durian bersama keluarga atau rakan-rakan.
“Mereka hanya perlu membawa tikar sendiri untuk bersantai. Jika ada durian yang rosak atau tidak elok, kami terus menggantikannya dengan buah yang baharu,” katanya.
Menurutnya, kebun dibuka setiap hari bermula pukul 9 pagi hingga 6.30 petang sepanjang musim durian.
Selain menikmati durian, pengunjung juga boleh mendapatkan cendol yang dijual setiap hari manakala nasi ikan singgang disediakan khusus pada setiap Jumaat dan Sabtu.
“Majoriti pelanggan datang dari sekitar Terengganu. namun ada juga yang sanggup datang dari Johor, Kedah dan Selangor semata-mata untuk merasai pengalaman makan durian segar di kebun.-UTUSAN










