Durian Bukit Batu dari pokok 80 tahun muncul juara durian

Durian Bukit Batu dari pokok 80 tahun muncul juara durian premium kampung

HUSAIN A. Razak menunjukkan durian Bukit Batu yang dinobatkan sebagai juara durian premium kampung peringkat Jerantut di Taman Seri Damak, Jerantut, Pahang. – mingguan/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Durian Bukit Batu daripada pokok yang berusia hampir 80 tahun muncul juara pertandingan durian premium kampung (DPK) sempena Hari Durian Jerantut di dewan Taman Seri Damak, dekat sini.

Pekebun Durian Bukit Batu, Husain A. Razak membawa pulang hadiah wang tunai RM500 serta cenderamata manakala tempat kedua, Mohd. Haslah Mohamed dengan durian De Kampung Perlok (RM300) dan ketiga, Abd. Rani Abd.Razak dengan durian Anak Gajah (RM200).

Husain, 63, berkata, dia tidak menyangka pokok Durian Bukit Batu ditanam oleh bapanya kira-kira 80 tahun lalu masih digemari oleh para juri terdiri daripada kakitangan Jabatan Pertanian dan aktivis durian Solo Hunter sehingga dinobatkan sebagai juara DPK tahun ini.

“Seingat saya, pada awal penanaman cuma lima batang pokok Durian Bukit Batu diusahakan oleh bapa saya menerusi semaian biji benih.

“Sejak dua musim lalu, hanya tinggal sebatang pokok Durian Bukit Batu berbuah dan musim ini berbuah kira-kira 60 biji,” katanya di Taman Seri Damak.

Menurut Husain, dia menyertai pertandingan durian kampung itu atas galakan rakan pekebun di Damak dan Ulu Cheka memandangkan Durian Bukit Batu mempunyai kualiti rasa, aroma serta mendapat pasaran yang baik sebelum ini dalam kalangan penggemar raja buah.

“Saya terus membawa Durian Bukit Batu untuk menyertai pertandingan ini dan turut bersaing dengan seramai 27 peserta lain yang juga menyediakan buah durian dari baka kampung terbaik.

“Saya bagaikan tidak percaya Durian Bukit Batu menambat selera dan minat para juri pertan­dingan ini sehingga diumumkan sebagai juara,” katanya.

Dia berkata, Durian Bukit Batu dijual dengan harga RM30 sekilogram di pekan Damak setiap musim dan kebanyakan peraih tidak teragak-agak mengambil kerana buah itu mempunyai kualiti setanding dengan DPK lain.

Husain berkata, rasa durian itu berlemak dan sedikit manis, melekit, beraroma dan mempunyai antara dua hingga tiga ulas berwarna oren pada setiap pangsa.

Ujarnya, dia telah membuat semaian biji benih Durian Bukit Batu sejak musim lalu memandangkan pokok asal sudah tua dan tinggi serta tidak mampu menghasilkan buah lagi pada masa musim akan datang.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN