Anggota tentera maut kemalangan di Menora selamat dikebumi

Anggota tentera maut kemalangan di Menora selamat dikebumi

MUHAMMAD Arash Mohd. Ruzaini (kiri) menyiram air mawar ke pusara bapanya, Mohd. Ruzaini Md. Shariff di Tanah Perkuburan Islam Pekan Baru, Kuala Ketil, Baling, Kedah hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Ibu kepada anggota tentera yang terkorban dalam kemalangan di Terowong Menora, Perak tidak akan melupakan ungkapan ‘adik sayang mak’ yang diucapkan arwah Koperal Mohd. Ruzaini Md. Shariff.

Zuraidah Ismail, 59, berkata, kata-kata itu diucapkan oleh anak bongsu daripada lima beradik itu ketika pulang ke rumah mereka di Taman Permai Jaya, Kuala Ketil di sini minggu lalu.

“Dia singgah sekejap sebelum mandi dan menjamah sedikit makanan di rumah tetapi nampak sedih ketika hendak meninggalkan saya dan bapanya.

“Sebelum keluar rumah dia sempat memeluk dan mengungkapkan ‘adik sayang mak’ sambil berpesan supaya saya jangan lupa makan ubat dan reda dengannya yang hendak menyambung kerja seperti biasa,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Baharu, Kuala Ketil di sini, hari ini.

Menurut Zuraidah, dia juga nampak pelik dengan kelakuan anaknya itu apabila pelukan yang diberi terasa amat erat seolah-olah enggan melepaskannya. 

“Semalam baru saya tahu yang pelukan eratnya itu yang terakhir selepas menerima berita dia maut dalam kemalangan trak tentera dinaikinya. Apapun saya reda dengan kematiannya dan berharap dia ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman,” katanya. 

Zuraidah berkata, Mohd. Ruzaini turut meninggalkan pesanan buat anak sulungnya iaitu Muhammad Arash yang berusia 11 tahun supaya menjaga empat adiknya yang lain serta ibu mereka sebelum kejadian.

“Dia sempat menelefon anaknya dan berpesan supaya mendengar kata ibunya selain sering menghormati ahli keluarga. Arwah seolah-olah tahu akan meninggalkan kami semua,” katanya.

Jenazah Mohd. Ruzaini selamat dikebumikan mengikut istiadat ketenteraan kira-kira pukul 12.30 tengah hari tadi. Jenazah arwah sebelum itu dibawa ke rumah ibu bapanya sekitar pukul 3 pagi sebaik selesai bedah siasat di Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang semalam, trak dinaiki tujuh anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terbabas ke kiri jalan sebelum terbalik dan terhumban ke dalam gaung sedalam enam meter.

Trak tentera itu dalam perjalanan dari Kem Batalion Kedua Rejimen Renjer Diraja (RRD) Ipoh menuju ke Kem Batalion Kesembilan RRD di Taiping untuk mengambil barangan.

Nahas mengakibatkan enam yang lain termasuk pemandu trak cedera dengan dua daripadanya parah, manakala Mohd Ruzaini yang duduk di bahagian penumpang belakang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN