Kadar import makanan dikurangkan 50 peratus menjelang 2050 - Zahid

Kadar import makanan dikurangkan 50 peratus menjelang 2050 – Zahid

AHMAD Zahid Hamidi dalam sidang akhbar selepas hadir Program RISDA Agromajestic Negeri Johor Tahun 2026 di Pekarangan Dataran Kejat Bandar Tenggara, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Kadar kebergantungan import bahan makanan negara akan dikurangkan sehingga 50 peratus menjelang tahun 2050.

​Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu penting memandangkan unjuran nilai import makanan negara pada ketika ini mencecah sekitar RM80 bilion setahun.

​Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, bagi merealisasikan misi berkenaan, kementerian menerusi agensi di bawahnya telah menggerakkan pelbagai inisiatif sekuriti makanan sejak tiga tahun lalu.

“Untuk tahun 2030, saya fikir kita boleh mengurangkan sekurang-kurangnya 15 peratus. Tahun 2040, dia akan mencapai ke angka 30 peratus dan saya fikir untuk mencapai tahap 50 peratus pengurangan import tu sebelum tahun 2050.

“Walaupun ini satu program jangka panjang tetapi dengan kejayaan yang telah kita lakukan, insyaAllah kita mempunyai unjuran bagi pengurangan pengimportan bahan-bahan makanan itu melalui agensi-agensi yang bukan pun di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan tetapi koordinasi itu dilakukan oleh KKDW kerana secara kebetulan saya juga adalah Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Sekuriti Makanan,” katanya dalam sidang akhbar selepas hadir Program RISDA Agromajestic Negeri Johor Tahun 2026 di Pekarangan Dataran Kejat Bandar Tenggara, hari ini.

​Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, antara strategi utama yang sedang dilaksanakan termasuk memanfaatkan tanah-tanah terbiar milik agensi kerajaan bagi tujuan projek pertanian berimpak tinggi dan penternakan.

​”Tanah-tanah yang kurang atau tidak dimanfaatkan sepenuhnya akan ditukar untuk pelbagai projek pertanian demi keterjaminan makanan serta binatang ternakan.

“Ini dilakukan dengan kerjasama banyak pihak, jabatan veterinar, kerjasama kolaborasi dengan Felcra dan lain-lain agensi pertanian yang lain di bawah kerajaan negeri dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN