Hanya 3,917 pelajar prasiswazah antarabangsa di UKM

Hanya 3,917 pelajar prasiswazah antarabangsa di UKM

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menafikan dakwaan tular di media sosial bahawa nisbah pelajar antarabangsa berbanding pelajar tempatan di universiti itu ialah 5:1 iaitu lima pelajar antarabangsa bagi setiap seorang pelajar tempatan.

UKM menerusi kenyataan memaklumkan, pihaknya memandang serius dakwaan yang dibuat menerusi sebuah video yang tular di platform Facebook baru-baru ini.

Katanya, data terkini daripada Pusat Pengurusan Akademik dan Pusat Pembentukan Pendidikan Lanjutan & Profesional menunjukkan UKM mempunyai seramai 46,151 pelajar dengan hanya 3,917 daripadanya pelajar prasiswazah antarabangsa.

“Pelajar prasiswazah antarabangsa hanya mewakili lapan peratus daripada keseluruhan populasi pelajar.

“Nisbah 5:1 yang didakwa tersasar jauh daripada fakta sebenar iaitu sekitar 1:12,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut UKM, universiti itu sentiasa berpegang kepada matlamat penubuhannya untuk memartabatkan pendidikan anak bangsa.

“Pengambilan pelajar antarabangsa tidak menjejaskan keutamaan universiti dalam menyediakan peluang pendidikan kepada pelajar tempatan.

“Pengambilan pelajar antarabangsa dilaksanakan secara terkawal, selari dengan seruan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam memacu agenda pengantarabangsaan pendidikan negara,” katanya.

Sehubungan itu, UKM menyeru orang ramai mendapatkan maklumat daripada saluran rasmi universiti serta tidak menyebarkan maklumat yang tidak disahkan.

“UKM memandang serius penyebaran maklumat palsu atau mengelirukan yang boleh menjejaskan reputasi institusi dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang terus menyebarkan fitnah atau maklumat tidak benar,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN